SANJNA Suri
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my

Jika menyebut nama Sanjna Suri, nama itu mungkin kedengaran asing.

Bagaimanapun, bagi mereka yang mengikuti perkembangan dunia peragaan, wanita kelahiran Ipoh, Perak ini tidak perlu diperkenalkan lagi.

Siapa sangka, Sanjna kini mengintai peluang menceburi dunia lakonan. Semestinya itulah yang menjadi hadiah paling bermakna dalam hidupnya apabila dapat memberikan buah tangan kepada peminat.

“Sejak kecil saya memang meminati seni persembahan. Selalunya orang tengok drama, mereka akan sekadar menonton tapi entah kenapa saya akan analisis setiap babak yang dipaparkan.

“Pada mulanya saya fikirkan tindakan saya ini adalah perkara biasa tetapi rupa-rupanya hanya saya seorang yang berfikir begitu mendalam,” katanya yang pernah dihalang keluarga untuk menceburi dunia seni.

Menurut Sanjna, selepas merealisasikan harapan keluarganya apabila menjadi graduan cemerlang ketika memperoleh ijazah Sarjana Muda Farmasi Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS) dan selepas setahun bekerja dalam bidang terbabit, dia kini fokus mengejar impiannya.

Terbaru, Sanjna diberi peluang membintangi filem Sangkar yang bakal menemui penonton tahun depan.

Tambah menarik, gadis berusia 26 tahun ini bakal mewakili Malaysia ke pertandingan ratu cantik Miss Supranational 2018 di Warsaw, Poland pada Disember depan.

Pembabitannya itu adalah wakil pertama Malaysia bertanding dengan calon negara lain.

Sanjna berkata, dia teruja dan berharap dapat mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

“Saya sangat teruja diumumkan sebagai wanita Malaysia pertama menyertai pertandingan yang sudah memasuki edisi keempat itu. Semestinya tawaran ini adalah impian setiap wanita untuk menjadi wakil Malaysia ke pentas dunia dan kini impian itu menjadi nyata.

“Walaupun ramai tidak mengenali saya, orang luar mengenali Malaysia. Jadi, semangat itu yang akan saya bawa untuk bertanding di Poland nanti,” katanya.

Menurut Sanjna, dia kini giat melakukan persiapan rapi bagi memastikan dirinya dapat bersaing dengan wanita jelita dari negara lain.

“Apa yang penting, saya pastikan persiapan dari segi mental kerana pertandingan ini mempertaruhkan ramai wanita jelita dari seluruh dunia. Jadi, saya perlu sentiasa yakin dengan diri supaya dapat memikat hati juri nanti.

“Walaupun gementar, pertandingan ini adalah motivasi buat saya melakukan yang terbaik selain ingin menjadi inspirasi untuk wanita dari Malaysia,” katanya.

Pada pertandingan itu, Sanjna bakal memperagakan busana rekaan Anuar Faizal dan barangan kemas Amee Philips bernilai RM1.5 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 3:00 AM