Umie Aida enggan komen. FOTO MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


PELAKON filem Dukun, Datin Seri Umie Aida enggan memberi sebarang komen berhubung isu beliau rela hidup bermadu.

Umie, 45, dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp memberitahu, beliau tidak mahu komen mengenai isu itu.

“Kalau mengenai isu itu (rela bermadu), taknak komen.

“Saya dah kena marah, cakap merepek.

“Minta maaf ya. Terima kasih,” tulisnya dengan jawapan ringkas.

Sabtu lalu, Umie ada memuat naik fotonya berlatar belakangkan Kaabah di Instagram (IG) dengan menulis kapsyen mengizinkan suami, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkahwin lain.

“Pagi ni me (saya) bangun tidur, tiba-tiba me cakap dekat abang (suami). Jangan buat perkara tak elok.

“Kalau nak terus kahwin. Me izinkan. Terkejut beruk abang. Dia cakap me merepek.

“Me cakap, me tahu me bukan isteri yang sempurna. Hmmm... Entahlah... kenapa dan mengapa me boleh cakap begitu.

“Tapi yes... Me izinkan dan me nak abang tahu itu. Mood gerhana bulan kot,” tulisnya. Pun begitu, status kapsyen pada foto dimuat naik Umie beberapa hari lalu itu sudah pun dipadamkannya.

Untuk rekod, Umie dan Khairuddin bernikah di Makkah pada Mac 2010.

Hari ini, Harian Metro memaparkan kenyataan komen daripada kakak Umie iaitu pelakon dan pengarah terkenal, Erma Fatima.

Menurut Erma, kehidupan bermadu bukan perkara mudah dan dia sendiri pernah melaluinya

“Kahwin lagi satu dan hidup bermadu bukannya mudah kerana ia membabitkan tiga individu.

“Jika salah seorang tidak terima dan salah seorang tidak tahu bersyukur atau erti reda, lebih baik lupakan sajalah,” katanya.

Kata Erma lagi, jika kita bermadu perlulah menghormati hak isteri yang pertama.

“Sudahlah ambil suami orang. Dan hargailah hak orang kita ambil itu.

“Dalam hal ini, bukan saya tidak menyokong hidup bermadu tapi ia berdasarkan pengalaman hidup saya yang pernah bermadu,” katanya.

Berita berkaitan:Bukan mudah hidup bermadu - Erma Fatima

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 8:17 PM