HAEL Husaini
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my

Siapa mampu menafikan kemampuan Hael Husaini dalam menyajikan kejutan kepada pencinta muzik tanah air?

Kalau sebelum ini Hael mengejutkan peminatnya dengan lagu Jampi yang menjadi single pertamanya selepas bergelar penyanyi solo, dia sekali lagi tampil berbisa dengan single duet Haram bersama penyanyi tersohor Dayang Nurfaizah.

Kejutan diteruskan dengan single terbarunya, Hajat yang lain daripada apa pernah diketengahkan sebelum ini.

Menerusi lagi Hajat ciptaannya bersama Ezra Kong, Hael membawa peminat melihat sisi berbeza dirinya.

Susunan lagunya juga ada beberapa perbezaan jika dibandingkan dengan Jampi dan Haram.

Nampaknya Hael semakin berani mempertaruhkan sesuatu yang jarang diperlihatkan.

Dari segi lirik, Hajat bercerita mengenai permintaan dalam bercinta atau mungkin boleh diinterpretasikan secara berbeza.

Apa yang pasti, ada ‘misteri’ yang ingin disampaikan sama seperti karya terdahulunya.

Hael ketika diminta mengulas mengenai lagu ini menganggap ia karya yang unik.

“Paling unik bagi saya adalah video muziknya. Tentunya banyak kelainan yang saya tampilkan dalam video muzik Hajat.

“Hari pertama ia dimuat naik dan dilancarkan di YouTube, saya terima pelbagai reaksi positif daripada peminat,” katanya.

Sejak dilancarkan empat hari lalu, video muzik Hajat mencatat hampir sejuta tontonan.

• LAGU: Hajat

• PENYANYI: Hael Husaini

• KOMPOSER & LIRIK: Hael Husaini & Ezra Kong

• LABEL: Rocketfuel Network

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 1:00 PM