Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my

Bertukar ganti anggota dan berpecah kepada dua kumpulan yang menggunakan nama XPDC langsung tidak menjejaskan populariti kumpulan heavy metal popular ini.

Baik XPDC ‘Peng Yu’ yang dianggotai Mael selaku vokalis, Jeff (gitar), Zuar (bass) dan Amy (dram) mahupun XPDC ‘Hijrah’ yang didokong oleh Ali (penyanyi), Izo (gitar), Eddie (bass) dan Lola (dram), kedua-duanya diterima baik peminat.

Rezeki bagaimanapun lebih memihak kepada XPDC ‘Hijrah’ kerana mendapat pelbagai peluang keemasan daripada beberapa pihak antaranya pakej mengembara ke Eropah bagi menjayakan program Kembara XPDC ke Bumi Eropah pada Oktober lalu.

Mereka berkelana ke London, Manchester, Liverpool, Dublin, Paris dan Amsterdam bagi mengadakan persembahan serta berdakwah.

Program diketuai Mubarak Hatta itu bertujuan mendekati masyarakat Islam terutama warga Malaysia yang menetap di sana.

Terbaru, rezeki memihak lagi kepada mereka apabila ada pihak sudi menaja pembikinan video muzik single terbaru berjudul Sentosa.

Single itu akan dimuatkan dalam album terbaru XPDC yang bakal berada di pasaran tidak lama lagi.

Menariknya, pembikinan video muzik itu dilakukan di tempat terbuka di hadapan kompleks beli-belah SOGO, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Lokasi itu terkenal sebagai tempat pemuzik jalanan atau busker mencari rezeki dan sering menjadi tumpuan terutama pada hujung minggu.

Sudah semestinya peminat setia mereka tidak melepaskan peluang menonton dan secara tidak langsung mengambil bahagian dalam video muzik arahan pengarah terkenal Hashim Rejab.

Mereka seakan-akan ghairah untuk menikmati sentuhan terbaru XPDC selepas lama menanti.

Seperti biasa, ada yang tidak melepaskan peluang merakam gambar kenangan bersama anggota kumpulan pujaan mereka itu.

Terima kasih semua Ali berkata, konsep video muzik dan lokasi itu sudah lama difikirkan mereka tetapi baru kini dapat direalisasikan.

“Alhamdulillah, kami memang mahu penonton menyaksikan pembikinan video muzik ini dalam suasana santai.

“Kami mahu mereka tenang menghayati mesej di sebalik lirik yang kami sampaikan dalam Sentosa.

“Kami pun mahu kembali dengan album baru, jadi kami nak penonton daripada pelbagai peringkat usia terbabit sama dalam video muzik ini.

“Apabila ada lokasi terbuka sebegini, kami dapat merapatkan lagi hubungan dengan peminat yang tidak pernah jemu menyokong kami,” katanya.

Menurutnya, kos penerbitan video muzik ini disediakanBlockchain Island yang kini menjadi tempat XPDC bernaung.

“Mereka mengeluarkan semua kos meliputi rakaman album, video muzik, promosi serta konsert yang akan berlangsung pada satu tarikh yang akan diberitahu nanti.

“Sebenarnya, tulang belakang syarikat ini adalah peminat dan kawan baik kami serta sama-sama bergerak dalam satu jemaah.

“Dia mahu bantu kami dalam usaha dakwah dan mengajak masyarakat melakukan kebaikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Julai 2018 @ 4:30 AM