Zahirah MacWilson. FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


PELAKON popular, Zahirah MacWilson mengakui tidak serik untuk bercinta dengan rakan artis selepas putus cinta dengan aktor Zul Ariffin pada pertengahan Mac lalu.

Menurut Zahirah, 23, dia juga tidak dapat mengelak dari dikaitkan dengan rakan artis kerana dirinya berkecimpung dalam bidang seni sejak tiga tahun lalu.

“Saya tidak berani cakap tidak mahu bercinta dengan rakan artis kerana sebagai pelakon, saya bertemu rakan artis setiap hari.

“Saya juga tidak menolak untuk bercinta lagi jika bertemu lelaki yang baik sama ada kalangan artis atau orang luar dari bidang seni,” katanya kepada Harian Metro.

Mengenai kriteria lelaki idaman, kata Zahirah, dia mencari calon kekasih yang menghormati kariernya sebagai pelakon.

“Saya juga mencari seorang lelaki yang memahami diri ini,” katanya.

Ditanya kehidupannya sejak bergelar solo, kata Zahirah dia berasa dirinya lebih bebas untuk melakukan apa yang disukai.

“Saya tidak perlu kerap memeriksa mesej di telefon bimbit dan boleh memuat naik apa saja status dan gambar di laman Instagram.

“Ayah yang paling gembira bila saya sudah putus dan saya percaya, dia tidak akan menolak atau tidak menyukai lelaki yang mahu bercinta dengan anaknya tanpa sebab kukuh,” katanya.

Mengenai hubungan baiknya dengan pelakon Syafiq Kyle pula, kata Zahirah, mereka rapat sebagai rakan artis.

“Saya akui ayah memang suka kami berkawan sejak bergandingan dalam drama Tak Ada Cinta Sepertimu yang bersiaran di Astro sebelum ini.

“Syafiq lelaki yang baik dan kami rapat sebagai kawan dan tidak lebih dari itu,” katanya.

Terdahulu, Zul pernah membuat kenyataan kepada pihak media membabitkan hubungan cintanya dengan Zahirah sudah berakhir pada pertengahan Mac lalu selepas tiga tahun bercinta.

Hero Tombiruo itu turut memberitahu dirinya kurang senang dengan tindakan Zahirah berswafoto dengan gembira ketika majlis pengebumian arwah ibunya, Robiah Nasir, Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 4:16 PM