Altimet harap peminat tidak terkeliru. FOTO AZIAH AZMEE
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


PENYANYI rap dan hip hop, Altimet tidak mahu peminat menyalah tafsir kenyataannya yang mahu bersara pada 27 November ini bersempena tarikh lahirnya ke-40.

Altimet atau Ahmad Abdul Rahman berkata, mungkin ramai yang membaca berita itu terkeliru dengan apa yang ditulis.

“Saya nak tegaskan saya hanya bersara daripada buat persembahan pentas sahaja. Perancangan dibuat 10 tahun lalu.

“Tapi saya akan terus aktif dalam industri dengan menulis dan menghasilkan lagu untuk penyanyi lain,” katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada peminat, Altimet bercadang menghasilkan album istimewa buat mereka.

“Saya sedang buat album terakhir yang akan dipasarkan pada hari terakhir saya menyanyi iaitu sempena hari ulang tahun kelahiran saya.

“Saya merancang buat berbelas lagu dan prosesnya baru 20 peratus berjalan. Kesemua lagu baru kerana saya tak suka kitar semula lagu lama.

“Namun sekiranya syarikat rakaman nak buat album kompilasi lagu baru dan lama itu terpulang kepada mereka,” katanya.

Menurut Altimet, album itu pasti menarik kerana ia ibarat cerita perjalanannya dalam industri muzik.

“Ia macam cerita saya bercinta dengan muzik dan akhirnya berpisah. Siapa yang dengar dari awal hingga akhir, dihujungnya pasti sedih.

“Diikutkan, rangka album sudah ada sejak lapan tahun lalu. Sekarang sudah sampai masa untuk saya keluarkan.

“Artis undangan yang akan berkolaborasi dengan saya untuk album ini adalah Alif Sleeq, SonaOne dan Joe Flizzow. Kalau boleh saya nak bergandingan dengan Ning Baizura dalam album itu,” katanya.

Ditanya sekiranya lagu Bunga nyanyiannya yang kini dicalonkan dalam Muzik-Muzik 33 mampu mara ke peringkat akhir Juara Lagu, pemenang kategori Persembahan Terbaik menerusi lagu Amboi pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-32 ini mengakui ia bukanlah masalah besar.

“AJL adalah pertandingan menulis lagu. Ia mengenai lagu. Kerana itulah ia membenarkan penyanyi gantian ambil bahagian sekiranya penyanyi asal tak dapat menyanyi.

“Contohnya Jaclyn Victor pernah menyanyikan lagu Anuar Zain. Begitu juga Aizat Amdan menyanyikan lagu Yuna.

“Walaupun orang lain menyanyi ia bukan masalah dan tetap boleh menang. Saya rancang kalau lagu ini berjaya masuk, orang lain akan menyanyikannya dan saya hanya hadir sebagai komposer,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 2:53 PM