RATUSAN ribu pengunjung hadir menyaksikan GVF2018.
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my

Dinantikan saban tahun, pesta muzikal Good Vibes Festival 2018 (GVF2018) yang berlangsung dua hari di The Ranch, Gohtong Jaya, Genting Highlands baru-baru ini terus mendapat sambutan luar biasa.

Bukan saja pengunjung tempatan, peminat pesta muzik dari luar negara turut memeriahkan acara berkenaan. Lebih 100,000 kehadiran direkodkan sepanjang dua hari menandakan GVF2018 tidak pernah mengecewakan.

Apa yang pasti, acara kali ini jauh lebih baik berbanding tahun-tahun terdahulu apabila tidak berlaku gangguan cuaca seperti hujan. Suasana di tapak acara menjadi lebih selesa dan tidak membataskan pergerakan pengunjung.

Berbanding dua tahun sebelum ini, ramai merungut dengan keadaan tapak yang berlumpur disebabkan hujan.

Bagaimanapun, tarikan sebenar pesta itu sudah semestinya barisan penghibur yang menjayakan persembahan kali ini. Menghimpunkan artis terkenal tempatan dan antarabangsa, terbukti pilihan penganjur tidak pernah salah.

Menjadi artis penutup acara itu, penyanyi kelahiran New Zealand dan pemenang Grammy iaitu Lorde antara tarikan utama. Ia terbukti apabila rata-rata pengunjung tidak berganjak dan sabar menanti gilirannya beraksi di atas pentas.

Pertama kali bertandang ke sini, penyanyi berkenaan nyata teruja apabila impiannya untuk bertemu peminat di Malaysia dapat direalisasikan. Malah, dia memuji negara ini indah selain terharu dengan sambutan peminat.

“Sewaktu dalam perjalanan ke tapak acara, saya sangat terpesona dengan keindahan alam serta hutan yang menghijau.. Saya dengar, bunyi-bunyian yang kuat boleh menarik perhatian harimau kumbang untuk datang,” katanya sambil berseloroh.


LORDE memukau penonton dengan persembahan hebatnya.

Lorde mengagumkan penonton dengan persembahannya yang hebat. Terkenal dengan gaya menghiburkan yang tersendiri, keunikan itu menjadi kekuatan penyanyi itu.

Slot sejam yang dikhaskan buatnya bagai tidak cukup apabila penonton mahukan lebih daripada itu. Lorde mempersembahkan lagu Royals, Team, Tennis Court, Buzzcut Season, Liability, Sober, Homemade Dynamite, Magnets, Ribs, The Lourve, Supercut, Perfect Places dan Green Light.

Hampir semua lagu itu dinyanyikan bersama penonton. Dia juga mengambil kesempatan turun pentas untuk bersalaman dengan peminat sebagai tanda terima kasih.


DangerDisko

Selain Lorde, hari kedua pesta itu turut dimeriahkan dengan kehadiran beberapa artis antarabangsa yang turut memiliki peminat tersendiri.

Mereka termasuk penyanyi duo British iaitu Honne yang menggamatkan suasana dengan lagu muzik eletronik. Sambutan penonton cukup luar biasa memandangkan ini kunjungan pertama duo terkenal itu.

Begitu juga Odesza yang tampil dengan muzik sama berjaya menarik orang ramai untuk turut sama menarik sepanjang persembahannya.

Bintang lain yang beraksi pada hari kedua ialah Alt-J, Nick Murphy FKA Chet Faker, Majid Jordan, Noh Salleh, Dangerdisko (Live), Froya, Bil Musa, Emir Hermono, Jhin, Dan Shiv (Live), A-Kid, Senna, Fatim, Mass Music dan DJ Nesh.


Honne

Pada hari pertama, penyanyi rap wanita dari Amerika Syarikat iaitu SZA menjadi bualan hangat terutama dalam kalangan peminat muda. Dia menghangatkan pentas GVF2018 dengan persembahan berbisanya.

Sewaktu slotnya, SZA meminta penonton menyanyikan lagu hari jadi kepada ibunya yang turut hadir pada hari itu.

Selain SZA, turut beraksi pada hari pertama ialah What So Not, Vince Staples, The Neighbourhood, Naufal & I-Sky, Louis The Child, Roshan, Petit Biscuit, DJ Vin, SG Lewis, Lionel Rizki, Altimet & The Kawan Band, Reddi Rocket, Kyoto Protocol, Pastel Lite, Smiley, Zamaera dan Lunadira.

Pesta berkenaan dibawakan Toyota dengan kerjasama Resorts World Genting, U-Mobile, UOB, Klook, Monster Energy, Sjora, Rimmel London, MTV, Spotify, FlyFM, Says dan Bandwagon.


NOH Salleh turut menjayakan persembahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 4:00 AM