ALIF (kiri) dan Kaka Azraff. FOTO Rohanis Shukri
Syafil Syazwan Jefri

syafil.syazwan@ hmetro.com.my.

Belum genap setahun muncul dengan lagu baru, penyanyi Kaka Azraff kini melancarkan satu lagi single hasil kolaborasi dengan penyanyi, komposer dan rapper Singapura, Alif yang berjudul Sibuk.

Ini bukanlah kali pertama dua anak seni ini bergabung tenaga. Jadi, mudah untuk kedua-duanya mencari keserasian.

Soal muzik, lagu gubahan Alif bukan lagi asing buat pendengar. Melodi yang sudah sebati dengan dirinya diserapkan ke dalam muzik Kaka. Menariknya, ia tidak lari daripada genre yang sering dibawa Kaka sebelum ini.

Secara ringkasnya, Sibuk lagu ‘free and easy’ yang buat penonton ketagih mendengarnya.

Bahagian korusnya sangat kuat dan berjaya mengikat perhatian pendengar dengan lirik berulang “Jangan call aku sibuk”.

Dari segi lirik, Sibuk bukanlah satu lagu yang perjalanan ceritanya terlalu ‘dalam’. Secara jelas ia menyampaikan kisah mengenai gadis yang sibuk dengan kehidupan dan perlukan ruang.

Menurut Alif, dia hasilkan lagu ini hampir setahun lalu dan pada awalnya merancang untuk memuatkannya dalam albumnya.

“Pada awalnya, saya cuma nak dengar interpretasi lagu ini kalau dinyanyikan oleh Kaka. Tak sangka pula dia suka dan saya bersetuju berikan lagu ini kepadanya,” kata Alif.

Bagi Kaka pula, Sibuk mengingatkannya kepada Bukan Hal Aku yang menyaksikan kerjasamanya dengan Alif yang ketika itu anggota Sleeq.

“Ada beberapa hal dalam lagu ini yang mengingatkan saya kepada Bukan Hal Aku tetapi ditambah baik dan lebih menarik.

“Alif pencipta lagu yang bijak. Dia tahu apa saya mahukan serta apa yang sesuai untuk saya,” katanya.

Video muzik Sibuk akan dilancarkan pada 3 Ogos ini. Apa kelainan yang dibawakan Kaka dalam video muzik lagu barunya itu, sama-sama kita nantikan.

• LAGU: Sibuk

• PENYANYI: Kaka Azraff dan Alif

• KOMPOSER DAN LIRIK: Alif

• EDARAN: Warner Music Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 3:00 AM