SITI Sarah ditinggalkan Shuib ketika menari di luar kereta. FOTO/FAIL
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my

RAKAMAN video cabaran ‘Keke Challenge’ iaitu menari di luar kereta bergerak perlahan yang dimuat naik di laman Instagram, penyanyi Siti Sarah bertukar bahan jenaka apabila dia ditinggal suaminya, Shuib.

Siti Sarah, 34, berkata dia tidak menjangka Shuib akan bertindak sedemikian sekali gus menukar cabaran itu menjadi ‘Kiki Kena Tinggal’.

“Sejak semalam saya dan suami melihat ramai yang berkongsi video cabaran ini. Jadi, saya beritahu suami ingin melakukan perkara sama dan minta dia rakam. Suami ada cakap, tidak pula mereka ditinggal.

“Jadi, ketika dalam perjalanan ke sesi fotografi pagi tadi saya terus nak buat. Namun, tidak menjangka pula suami tinggalkan saya.

“Daripada ‘Keke Challange’ bertukar jadi ‘Kiki Kena Tinggal’,” katanya kepada Harian Metro.

Menariknya, video yang dimuat naik tiga jam lalu itu sudah ditonton lebih 600,000 dan mendapat 11,000 komen.

Ia sekali gus menjadikan video ‘Kiki Kena Tinggal’ Sarah itu paling ramai ditonton dan dikongsi dalam kalangan artis tempatan.

“Mungkin mereka terhibur apabila ‘Kiki Kena Tinggal’. Walaupun perkara ini bukan budaya kita, tetapi apa yang berlaku pada saya menjadikan ia dekat dengan kita.

“Sebenarnya saya pun tidak menjangka banyak yang komen, tengok dan kongsi. Paling mengejutkan apabila penyanyi Krisdayanti pun komen. Saya sangat gembira,” katanya.

Selain penyanyi Indonesia itu, antara artis lain yang memuji video Sarah seperti, Azharina, Janna Nick, Siti Nordiana, Datin Seri Umie Aida, Fasha Sandha, Maya Matahari, Nabila Huda, Noryn Aziz dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 5:09 PM