KUGIRAN Masdo paling ramai peminat.
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my

Sebagai rancangan carta muzik di televisyen paling lama bertapak di Malaysia, memerlukan unit produksi Muzik Muzik sentiasa mencari idea segar di luar kotak.

Mereka perlu menampilkan kelainan supaya kandungan yang ditampilkan kelihatan berbeza dan lain daripada biasa.

Sehubungan itu, Showcase Muzik Muzik 33 (SMM33) yang berlangsung di pusat beli-belah IOI City Mall, Putrajaya, Sabtu lalu adalah satu langkah bijak bagi memastikan nama program ini kekal menjadi sebutan peminat.

SMM33 sudah dirakam dua episod pada April dan untuk kali ini menampilkan Altimet yang menyanyikan lagu Bunga untuk pencalonan baru, Haqiem Rusli dengan Selamat Tinggal Sayang (pencalonan baru), Kugiran Masdo dengan Bercanda Di Malam Indah (lagu dalam carta), Naim Daniel dengan Sekali Lagi (lagu dalam carta) dan Rem dengan Selingkar Kasih (artis throwback).


SEBAHAGIAN penonton di Showcase Muzik Muzik 33.

Sambutan peminat sememangnya amat mengagumkan sekali gus menjadikan lokasi persembahan gamat dengan sorakan mereka.

Setiap artis ternyata bersemangat menampilkan persembahan terbaik masing-masing supaya peminat yang hadir pulang dengan puas hati.

Haqiem dan Kugiran Masdo menjadi ‘pemenang’ pada hari itu kerana berjaya mengumpulkan kehadiran ramai peminat yang sanggup menunggu hingga akhir acara untuk mengambil gambar kenangan.

Rakaman yang dihoskan Haziq Hussni (Hot FM) dan Sherry Al Hadad ini akan menemui peminat menerusi slot Muzik Muzik pada Isnin, 30 Julai jam 11 malam.

Penerbit Eksekutifnya Nurhul Huda Khalid berkata, dalam setahun mereka akan mengadakan lima kali SMM33 supaya jenama ini terus dekat dengan peminat.


HAZIQ dan Sherry Al-Hadad sebagai pengacara.

“Namun, ada perbezaan dan kelainan berbanding dulu apabila tiada lagi jalan pintas atau ‘wild card’ siapa pemenang showcase untuk dibawa ke separuh akhir.

“Tahun lalu, lima lagu dipertandingkan di showcase dan pemenang akan terus layak ke peringkat separuh akhir tapi kali ini mereka hanya mengadakan showcase biasa.

“Ini tahun ketiga MM buat showcase apabila tahun pertama kami adakan di pusat hiburan Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur dan sambutan kurang memberangsangkan kerana dibuat di lokasi tertutup. Itulah sebabnya kami pilih buat di tempat terbuka,” katanya.


HAQIEM bawa lagu Selamat Tinggal Sayang.

Menurutnya, sambutan hebat yang ditunjukkan peminat terhadap showcase di IOI City Mall tahun lalu membuatkan pihaknya meneruskan kerjasama ini.

“Sambutan kali ini juga hebat dengan kehadiran peminat Muzik Muzik. Kami berharap sambutan yang sama akan diberikan untuk dua lagi showcase iaitu pada Ogos dan September.

“Kesan positif apa yang dibuat ialah Muzik Muzik kekal berdiri dan takkan mati selagi adanya Anugerah Juara Lagu (AJL).

“Muzik Muzik ialah ibu kepada AJL kerana daripada sini kita akan dapat senarai 30 lagu untuk Separuh Akhir dan seterusnya 12 lagu untuk ke AJL. Peminat pun dah lama kenal Muzik Muzik dan mereka teringin nak dekat dengan program ini,” katanya.


REM selaku artis throwback.

Mengulas lagu yang ditampilkan dalam SMM33, Nurhul Huda berkata, dua daripadanya diambil daripada carta 20 Muzik Muzik, dua lagu pencalonan baru dan satu lagu throwback artis yang pernah popular suatu ketika dulu.

Sementara itu, barisan artis yang terbabit melahirkan perasaan gembira kerana dapat menghiburkan peminat secara langsung.

Selain SMM33 yang diadakan di tempat awam, Muzik Muzik 33 pula menampilkan beberapa segmen baru antaranya Apa Cerita? #coverlaguMM33, Lepak Jap, Spotlight dan Eksklusif.


ALTIMET

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 12:20 PM