Tiga calon dinamakan untuk jawatan Pengerusi FINAS baru (dari kiri) Othman, Rahim dan Yusof. FOTO fail Hm Digital
Adam Salleh
adam@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Penggiat filem ketika ini berteka-teki siapakah bakal Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) yang baharu susulan penyandang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim River, Datuk Khusairi Abdul Talib meletak jawatan kurang seminggu selepas Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan.

Kekosongan itu belum diisi sehingga kini, sementelah Ketua Pengarah FINAS, Datuk Fauzi Ayob di akhbar Metro Ahad semalam, mengulas beberapa nama termasuk tokoh berpengalaman dalam industri perfileman tanah air sudah diberi kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo untuk membuat keputusan.

Pelbagai nama ‘dipetik’ hingga ada yang sarankan aktres Sharifah Amani sebagai Pengerusi FINAS. Sebelum ini, Pengerusi FINAS pernah diterajui ‘orang politik’ seperti Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Seri Razali Ibrahim.

Bekas Ketua Pengarah FINAS era 80-an, Datuk Zain Hamzah pula menyarankan Pengerusi FINAS di bawah kerajaan baharu ini biar diterajui ‘orang filem’ dengan menamakan Datuk Yusof Haslam.

Bagaimanapun, Yusof berkata, ramai lagi tokoh perfileman yang hebat dan banyak menyumbang jasa seperti Othman Hafsham dan Datuk Rahim Razali berbanding dirinya yang dikategorikan junior.

“Kalau boleh elakkan calon ‘payung terjun’ yang ada kaitan politik supaya proses pentadbiran FINAS berjalan lancar dan tidak mengikut telunjuk mana-mana pihak. Biarlah orang yang ada kaitan dalam dunia perfileman dipilih kerana mereka lebih faham permasalahan industri perfileman kita,” katanya.

Sementara itu, bekas Ahli Lembaga FINAS juga aktivis perfileman, Prof Dr Asiah Sarji, berkata pengerusi baru FINAS seharusnya bukan yang oportunis, tiada kepentingan, tidak mempunyai sikap negatif kepada mana-mana pihak, sebaliknya mesti jujur, berkerja tidak berkira dan ada asas negara, bangsa dan agama.

“Sebagai pengerusi harus mempunyai daya fikir yang berwawasan dan inovatif. Matang dan cerdik pula tidak semestinya berumur, orang muda pun boleh asalkan tingkah lakunya bertepatan dengan nilai dan budaya bangsa. Kalau tiada ilmu filem tetapi dia ambil berat terhadap filem, itu ok,” katanya.

Asiah berkata, sewaktu menjadi Ahli Lembaga, beliau pernah menegur jika FINAS terbabit dalam festival dan seminar perfileman di luar negara, perlu ada ‘big plan’ untuk negara bukan pergi suka-suka.

Bagi pelakon dan pengarah filem Tamil tempatan, Shashi Taran yang agak vokal di media sosial, berkata tidak mahu politikus menerajui FINAS lagi, sebaliknya biarlah pengerusi itu tidak berat sebelah, vokal dan dapat membawa filem tempatan ke arah kecemerlangan bukan untuk kepentingan dirinya sendiri.

“Penggiat filem tempatan kena bersatu kerana masalah yang kita hadapi sekarang begitu mencabar. Umpamanya seperti saya menghasilkan filem India tempatan, tetapi kerana tiada kawalan filem India luar ‘menelan’ filem kami, nasib ini turut dialami penggiat filem Melayu dan Cina tempatan,” katanya.

Shashi Taran yang turut membintangi filem Brovo 5 dan KL Gangster 2, berkata pengerusi vokal dimaksudkan adalah bukan individu yang menyokong kerajaan semata-mata tetapi kepentingan industri.

“Industri kreatif kita ini sangat cantik, tetapi dikacau oleh orang politik hinggakan yang kaya terus kaya, yang miskin kekal miskin. Saya percaya YB Gobind sebagai menteri dapat buat keputusan bijak.

“Secara peribadi, saya cadangkan Hassan Mutalib sesuai menjadi Pengerusi FINAS. Beliau seorang yang vokal, senior dalam industri dan sentiasa memberi pandangan positif. Paling penting selalu turun padang kerana saya pernah menjemput beliau ke menonton filem Tamil saya, beliau hadir.

“Hassan Mutalib juga sering di jemput menjadi juri dalam dan luar negara,” katanya.

Pelakon, Vanidah Imran mengulas kenyataan Fauzi mengenai Gobind meminta FINAS mengatur dialog bersama penggiat industri sedangkan penggiat industri sudah penat ‘digula-gulakan.’

“Berapa banyak dialog nak diadakan. Dialog sebelum ini jadi apa. Proposal dihantar pada menteri-menteri sebelum ini semuanya tidak jadi apa. Dah penat pihak atasan ‘gula-gulakan’ kami.

“Banyak isu-isu dalam industri seharusnya diberi perhatian serius oleh FINAS,” katanya.

Pengarah Datuk Zulkifli M Osman berkata, kerusi Pengerusi FINAS sesuai diterajui oleh individu yang ‘hardcore’ dalam industri perfileman tempatan dengan menamakan bekas Ketua Pengarah FINAS, Datuk Kamil Othman paling layak kerana latar akademik selain visi untuk memartabatkan industri kreatif.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 1:29 PM