TENAGA mereka di pentas cukup mengagumkan.
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my

Kehadiran band alternatif rock dari Amerika Syarikat, Daughtry ke Kuala Lumpur menerusi Konsert Daughtry Live In Kuala Lumpur 2018 di KL Live, Jumaat lalu berjaya menarik lebih 1,500 penonton.

Ini kali kedua band dianggotai Chris Daughtry (penyanyi), Josh Steely (gitar), Joss Paul (bass), Brian Coddack (gitar), Elvio Fernandes (keyboard) dan Brandon Maclin (dram) datang ke sini sejak 10 tahun lalu.

Ternyata mereka masih dinantikan walaupun agak sepi kebelakangan ini tanpa lagu atau muzik baru.

Tidak sukar untuk mereka menambat hati penonton malam itu. Menjadi band yang teguh memperjuangkan muzik rock, kelebihan mereka ialah pada tenaga yang ditunjukkan di pentas.

Muncul tepat pada jam 8.30 malam, suasana terus berubah apabila jeritan penonton mula kedengaran. Memang mereka sangat teruja untuk menyaksikan Daughtry beraksi.

Tanpa melengahkan masa, Chris membuka persembahan dengan kehebatan vokalnya. Sebaik beraksi, penonton tidak henti bersorak untuk mereka.

Menyentuh mengenai cara permainan alat muzik, masing-masing jelas seronok menghiburkan penonton yang terserlah pada wajah dan riak mereka.


DAUGHTRY bertandang kali kedua ke Malaysia.

Kekuatan muzikal pada setiap skor muzik band itu boleh didengar dengan jelas dan bunyinya cukup sempurna. Ditambah pula dengan iringan vokal Chris, paduannya begitu bersatu.

Bercerita mengenai vokal Chris, tidak dinafikan dia antara penyanyi rock yang berjaya meninggalkan impak. Suara seraknya memang kekuatan utama vokalis itu.

Dicungkil bakatnya daripada program American Idol musim kelima, tidak hairan jika penyanyi itu benar-benar memastikan vokalnya begitu kemas.

Chris sememangnya memiliki aura tersendiri sebagai bintang rock dan cukup dikenali dengan imej berkepala botak.

Apa yang pasti, Chris tidak mahu kedatangannya di sini sekadar mahu menyanyi semata-mata. Dia mahu menunjukkan betapa dia menghargai peminat setianya di sini.

Bukan sekali dua, bahkan dia tidak ragu-ragu turun ke bawah pentas untuk bersalaman dengan penonton. Dia turut memberi peluang kepada mereka untuk mengambil swafoto bersamanya.

Menurut Chris, dia sememangnya cukup gembira dapat kembali ke sini, apatah lagi dengan sokongan berterusan peminat di Malaysia.


LEBIH 1,500 penonton hadir menyaksikan persempahan hebat Daughtry.

“Kali terakhir kami datang ke sini 10 tahun lalu. Tidak sangka apabila kami kembali, sokongan anda masih seperti dulu.

“Kami cuma harapkan anda akan terus setia di sisi kami. Tidak lama lagi, kami akan muncul dengan muzik baru yang semestinya lebih hebat daripada sebelum ini,” katanya.

Sebaik berkata begitu, ia terus disambut dengan jeritan yang cukup padu daripada penonton. Masing-masing kelihatan teruja dan tidak sabar menanti muzik terbaru mereka.

Pada malam itu, Daughtry mempersembahkan lagu baru dan lama yang kebanyakannya mesra di telinga penonton.

Lagu-lagu yang dinyanyikan termasuklah Just Found Heaven, Feels Like Tonight, Battleships, Backbone, Deep End, Breakdown, With Or Without You, Baptized, Interlude, Back In Time, It’s Not Over, Home, Waiting For Superman dan September.

Rata-rata penonton pada malam itu cukup berpuas hati dengan persembahan hebat mereka. Daughtry juga tidak ketinggalan membaling cenderahati kepada penonton tanda terima kasih mereka.


BAND ini beraksi dengan cukup sempurna.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 11:58 AM