BELA Lugosi
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


Dracula yang digambarkan sebagai makhluk penghisap darah atau puntianak adalah watak seram paling menonjol dalam filem sejak pelakon berdarah Hungary, Bela Lugosi pertama kali membawa watak itu di layar perak pada 1931 menerusi filem berjudul Dracula.

Watak ciptaan penulis Bram Stoker pada abad ke-19 mengenai seorang bangsawan dari Transylvania yang menggunakan gaya dan sikap baik untuk menarik perhatian mangsa itu turut dibawa dalam versi komedi menerusi filem animasi Hotel Transylvania 3: Summer Vacation yang akan ditayangkan bermula minggu depan.

Selain lakonan Luke Evans melalui Dracula Untold, Gerard Butler (Dracula 2000) dan Nielsen (Dracula: Dead and Loving It!), Bling! minggu ini menyenaraikan 10 pelakon yang paling berpengaruh dan menyakinkan dalam membawa watak seram popular ini.

1. Bela Lugosi - Dracula (1931)

Apa saja yang membentuk watak puntianak secara umum, ia pastinya bermula dengan Lugosi.

Lugosi ialah legenda asal Dracula yang tampil dengan fizikal berambut disikat kemas ke belakang, bertutur dalam dialek Eropah Timur pekat dan memakai mantel (cape).

Pun begitu, kredibiliti aktor itu yang ada tarikan tersendiri serta perwatakannya yang tenang menjadikan watak Dracula ciptaan asal itu kekal diingati sehingga ke hari ini.

Dialog, “Listen to them. Children of the night, what music they make” paling diingati sebagai ajakan menggerunkan sifat semula jadi makhluk itu yang cuba menarik mangsa.

2. Christopher Lee - Horror of Dracula (1958)

Peralihan daripada filem hitam putih kepada warna banyak membantu dari segi penambahan lebih banyak darah dapat digunakan untuk memberi impak sinematik.

Bagaimanapun, mengenali Lee yang sudah mempunyai rendisi tersendiri yang agak lama sebagai Count, wataknya wajib ada gigi taring yang tajam lagi panjang.

Dia juga terbabit dalam filem Dracula pertama yang menonjolkan perubahan watak daripada makhluk yang ada kelas atasan tersendiri kepada pembunuh tanpa belas kasihan.


CHRISTOPHER Lee

3. Richard Roxburgh - Van Helsing (2004)

Beberapa isu pembikinan muncul ketika penggambaran aksi pengembaraan ini walaupun lakonan Roxburgh sangat luar biasa.

Dia memegang watak pahlawan bijak yang mempunyai kecenderungan ‘megalomania’ iaitu penyakit mental yang menyebabkan seseorang berkhayal dan menganggap dirinya begitu penting, kaya dan berkuasa.

Selain itu, turut ada elemen watak pengantin puntianak dan saintifik yang menyebabkan kewujudan Frankenstein.


RICHARD Roxburgh

4. Duncan Regehr - The Monster Squad (1987)

Sebelum munculnya Avengers atau It, sekumpulan kanak-kanak bergabung untuk memerangi makhluk menakutkan yang dimiliki Dracula yang mahu merampas tangkal mistik dan seterusnya mengambil alih dunia.

Babak paling legenda ialah ketika watak serigala jadian ditendang di kemaluan oleh kumpulan kanak-kanak itu tetapi ketua puntianak hanya ada satu baris dialog saja dan tidak tahan dengan perangai kumpulan itu.


DUNCAN Regehr

5. Adam Sandler - Hotel Transylvania (2012)

Pastinya watak Dracula lakonan Sandler agak lucu dan lebih baik berbanding watak Dracula lain.

Watak ini terlalu bersikap pelindung apabila membabitkan anak perempuannya, Mavis. Mungkin watak ini akan jadi lebih baik jika dia memiliki teman istimewa dan tidak terlalu bersikap paranoia?


ADAM Sandler

6. George Hamilton - Love at First Bite (1979)

Ibarat ikan yang baru keluar dari air, begitu juga disebabkan pertama kali ke disko, filem seram romantik komedi lakonan Hamilton ini mengisahkan Dracula menguasai bandar Manhattan.

Di situ, dia mula terbabit dalam kisah cinta dua segi, kerandanya dihantar secara tak sengaja ke gereja Harlem dan babak dia menunjukkan gerak tari melalui lagu I Love The Night Life.


GEORGE Hamilton

7. Lon Chaney Jr - Son of Dracula (1943)

Ketika produksi Universal sering menerbitkan filem seram, Chaney cukup dikenali dengan watak serigala jadian.

Malah, dia juga sering diberi watak utama sebagai Mummy, Frankenstein dan The Count.

Melalui filem Son of Dracula, Chaney memberi gaya tersendiri kepada watak Dracula iaitu mampu bertukar buat kali pertama menjadi seekor kelawar.


LON Chaney Jr

8. Frank Langella - Dracula (1979)

Dalam filem era 1970-an dengan cara penceritaan gaya klasik Stoker, Dracula lakonan Langella mempunyai keyakinan tinggi sebagai penjenayah licik berbanding penjahat menakutkan.

Ini terutama cara dia menyeludup masuk ke dalam bilik wanita pada waktu malam dan si mangsa tidak menunjukkan rasa takut terhadapnya.


FRANK Langella

9. Max Schreck - Nosferatu (1922)

Terima kasih kepada isu undang-undang, penyambung kepada filem sepi klasik Lugosi ini tidak dibenarkan mengadaptasi novel karya Stoker walaupun menukar nama (termasuk tidak dibenarkan menggunakan istilah vampire) dan plot berbeza.

Sepatutnya watak Dracula kelihatan lebih menarik tetapi watak bernama Count Orlok di dalam filem ini ditonjolkan sebagai makhluk menakutkan yang muncul pada waktu malam, memiliki jari panjang dan wajah seperti Goblin.


MAX Schreck

10. Gary Oldman - Bram Stoker’s Dracula (1992)

Filem arahan Francis Ford Coppola menukar perwatakan Oldman menjadi seorang Drakula buat generasi baru.

Versi ini menunjukkan dia bertukar menjadi serigala apabila dahagakan darah dan Oldman memberi watak itu rupa berbeza sepanjang usianya iaitu daripada seorang pahlawan abad ke-15 kepada gaya Victorian kelas tinggi sehinggalah kepada rupa paras sebenarnya yang pelik lagi menakutkan.


GARY Oldman

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Julai 2018 @ 11:11 AM