FTISLAND
Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my

Selepas tujuh bulan, Festival Muzik K-Wave 3 kembali dengan menampilkan persembahan daripada tujuh artis popular Korea Selatan.

Acara dibawakan Mcalls anjuran MacpiePro dengan kerjasama MSR itu bakal berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam, 18 Ogos ini.

Barisan artis yang akan memeriahkan pentas Festival Muzik K-Wave 3 adalah FT Island, EXID, Monsta X, AOA, Jeong Sewoon, WJSN dan Boyfriend.

Acara ini sudah tentu berita baik buat peminat FT Island selepas kumpulan itu mengumumkan album baru mereka, baru-baru ini.

Sumber daripada FNC Entertainment mengesahkan kumpulan itu akan melancarkan album mereka sekitar bulan ini.

Album itu diperkenalkan genap setahun selepas melancarkan album Over 10 Years sempena ulang tahun ke-10 FT Island, Jun tahun lalu.


EXID

Justeru, peminat FT Island mungkin berpeluang mendengar lagu daripada album baru mereka pada Festival Muzik K-Wave 3 nanti.

Sementara itu, pihak penganjur kali ini mengambil keputusan untuk melangsungkan acara itu di lokasi tertutup selama dua jam.

Tiket menyaksikan Festival Muzik K-Wave 3 bermula pada harga RM98 hingga RM498 dan termasuk sim pek Mcalls Y33.

Istimewanya, peminat K-Pop remaja berusia antara 15 hingga 17 tahun berpeluang menyaksikan persembahan artis kesayangan dengan tiket berharga RM34.

Untuk keterangan lanjut, peminat boleh melayari facebook MacpiePro di @MacpiePro ataupun melayari laman web rasmi www.macpiepro.com.


BOYFRIEND

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 12:06 PM