Velvet akui tidak dikongkong suaminya. FOTO Shiraz Yasmine Ali
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


PENYANYI, Velvet Aduk menafikan suaminya iaitu vokalis Estranged, Rich melarangnya untuk aktif dalam bidang nyanyian sejak melahirkan empat cahaya mata.

Velvet, 31, sebaliknya mengatakan kesibukan menjadi ibu serta kerjaya sebagai penyampai radio di Sabah mengekangnya aktif menyanyi.

“Rich tidak pernah pun menghalang atau mengongkong saya meneruskan kerjaya nyanyian. Bahkan, sehingga sekarang dia menjadi penyokong utama serta sentiasa memberi galakan untuk saya terus menyanyi.

“Cumanya, tanggungjawab sebagai seorang ibu kepada empat cahaya mata sangat penting buat saya. Selain itu, saya juga ada kerjaya tetap sebagai penyampai radio di Kota Kinabalu menyebabkan kesibukan saya berganda,” kata bekas peserta Akademi Fantasia 4 (AF4) itu.

Bagaimanapun, Velvet mengakui dia tidak pernah menyepi daripada arena nyanyian bahkan sudah tampil dengan album penuh menggunakan judul namanya sendiri.

“Saya tidak pernah melupakan cinta terhadap bidang muzik. Hakikatnya, semangat saya untuk terus menjadi penyanyi tidak pernah pudar pun, jauh sekali mahu menyepi diri.

“Demi membuktikan kepada diri sendiri, saya turut melancarkan album penuh pada awal Mei lalu yang kebanyakan proses pemasaran dilakukan di Sabah. Album itu sangat bermakna disebabkan ia semua hasil tulisan saya.

“Sebelum ini, saya tidak berani untuk tampil dengan lagu sendiri disebabkan kurang keyakinan dan risau terhadap penerimaan. Namun, saya beranikan diri akhirnya selepas lama menunggu demi membuktikan kemampuan diri serta hadiah untuk peminat,” katanya.

Velvet kini dalam rangka mempromosikan lagu rakyatnya bersama Marsha Londoh berjudul Sumandak Sabah di seluruh Malaysia.

Menurutnya, penerimaan terhadap lagu berkenaan di seluruh negara jelas memberi semangat baru buatnya kembali mewarnai industri arus perdana.

“Saya dan Marsha sebenarnya tidak menjangkakan penerimaan luar biasa begitu. Niat asal adalah kami serahkan pada takdir saja kalau ia akan meninggalkan impak atau tidak.

“Berikutan penerimaannya, saya sanggup terbang ke Kuala Lumpur bagi sesi promosi lagu berkenaan. Inilah pengorbanan saya terhadap kerjaya muzik meskipun terpaksa berjauhan seketika dengan anak-anak,” katanya.

Velvet dan Rich mendirikan rumah tangga pada 2008, dikurniakan empat cahaya mata iaitu Joshia, 9, Caroline, 7, Keanu, 4, dan Denika, 1.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 5:11 PM