LEBIH 15,000 penonton hadir demi EXO.
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my

Hebat, luar biasa. Itulah gambaran terbaik buat kumpulan popular dari Korea Selatan, EXO ketika menjayakan konsert EXO Planet #4 ElyXiOn di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Tiada apa yang boleh dinafikan mengenai kehebatan luar biasa mereka apabila menyentuh cara menakluk pentas. Bahkan, EXO semakin bagus setiap kali membuat persembahan.

Walaupun hanya menampilkan lapan anggotanya iaitu Suho, Xiumin, Baekhyun, Chen, Chanyeol, D.O., Kai dan Sehun tanpa kehadiran Lay, ia tidak menggugat langsung semangat mereka menghiburkan lebih 15,000 penonton.

Ternyata ketiadaan Lay bukan penyebab untuk peminat tidak hadir menyokong mereka. Bahkan EXO bawa semangat Lay bersama mereka sepanjang persembahan itu.

Menyanyikan lebih 30 lagu, tenaga yang mereka tunjukkan harus dipuji. Jelas EXO berlatih bersungguh-sungguh untuk siri jelajah dunia keempat itu. Sebab itulah stamina mereka sangat mengagumkan.

Daripada lagu rancak ke balada, semuanya mereka lakukan dengan begitu cemerlang. Walaupun banyak melakukan tarian, ia langsung tidak menggugat vokal mereka.

Malah, tarian yang mereka tunjukkan juga menampakkan mereka berada di tahap lebih hebat berbanding sebelum ini. Setiap pergerakan mereka padu dan menarik.


KOREOGRAFI tarian lebih padu dan menarik.

Tidak hairanlah penonton juga begitu teruja menantikan persembahan untuk setiap lagu mereka. Jeritan demi jeritan kedengaran bukti betapa penonton sangat kagum dan terhibur.

Apa yang pasti, semua anggotanya juga teruja untuk kembali beraksi di sini. Bagi mereka, peminat di Malaysia semestinya antara yang terbaik di dunia.

Menjayakan konsert di sini buat kali ketiga, menurut Suho, mereka sedikit terkilan apabila hanya dapat beraksi untuk satu konsert saja di sini berbanding di negara lain.

“Sudah lama kami tidak ke sini tetapi rasanya seperti baru semalam kami terakhir berkunjung. Sayangnya konsert di Malaysia kali ini hanya diadakan satu hari saja,” katanya.

Bagaimanapun, kumpulan itu ternyata tidak mensia-siakan peluang untuk melepaskan kerinduan terhadap peminat di sini. Perkara itu terserlah apabila mereka cuba menghiburkan penonton di setiap penjuru pentas.

Semangat mereka mahu menghiburkan semua jelas begitu tinggi. Lantas, ia pastinya meninggalkan impak serta kenangan yang sangat indah terhadap setiap penonton pada konsert itu.


STAMINA EXO begitu mengagumkan.

Mereka juga sudah tidak sabar untuk kembali semula ke Malaysia pada masa akan datang. Walaupun kali ini pertemuan dengan peminat cuma singkat, mereka memujuk supaya peminat jangan bimbang.

“Jangan terlalu bimbang mengenainya kerana tidak lama lagi kami akan kembali dengan album baru pula. Kami harap selepas ini kami akan kembali semula dengan konsert yang banyak.

“Kami akan kembali dengan lebih hebat dan lebih bagus,” katanya.

Pada konsert berkenaan, EXO turut mempersembahkan lagu-lagu lama mereka yang popular termasuklah Growl, Angel, Lotto dan Call Me Baby.

Tidak ketinggalan lagu baru termasuklah Ko Ko Bop, The Eve, Boomerang dan Power antara yang berjaya menaikkan semangat penonton.

EXO pertama kali ke Malaysia pada 2016 dan menjadi antara kumpulan K-Pop paling dinanti di sini dengan penjualan tiketnya sentiasa habis.

Sementara itu, Lay tidak dapat hadir menjayakan konsert berkenaan disebabkan sibuk dengan kerjaya solo di negara asalnya, China.


TAMPIL berlapan tanpa Lay tidak menggugat semangat EXO.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 12:54 PM