Datuk Awie selesa bersama Edrie dan Sham mengiringi persembahan Wings. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


“SELAGI dia tidak minta maaf biarlah dia dengan dunianya.

“Namun, saya sentiasa memaafkan dan mendoakan semua orang diampunkan segala dosa,” kata vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie, 49.

Awie berkata sewaktu mengulas mengenai hubungannya dengan bekas pemain gitar utama Wings, Joe ketika ini.

Joe atau Abdul Zamin Abdul Kadir, 48, membawa haluan sendiri sejak kemelut melanda kumpulan rock terkenal tanah air itu tahun lalu.

Menurut Awie atau Datuk Ahmad Azhar Othman, dia sudah lama tidak bercakap atau berhubung dengan Joe.

"Namun, saya tidak mahu membenci orang kerana hidup ini bagaikan roda.

“Siapa tahu, jika saya susah satu hari nanti, dia yang akan datang untuk membantu saya?. Begitu juga sebaliknya.

"Saya tiada masalah jika dia mahu bercakap atau berbaik semula. Namun, tidak mungkin kami akan bekerjasama lagi dalam kumpulan," katanya.

Awie mengakui kumpulan rock itu tidak terjejas sejak ketiadaan Joe.

Menurut Awie, buat masa ini, Wings juga sibuk menyiapkan single terbaru kumpulan itu.

"Terus terang, Wings tidak terjejas pun tanpa Joe. Buat masa ini, Wings bergerak selesa bersama dua gitaris, Edrie Hashim dan Sham.

"Wings serasi bekerjasama dengan mereka dalam satu kumpulan.

"Edrie dan Sham komited dan memberi keutamaan kepada projek dan persembahan bersama Wings ketika ini.

“Saya fokus dengan projek single bersama Wings dulu dan single solo saya dalam perancangan lagi," katanya.

Ditanya Edrie akan menyertai kumpulan Wings yang heboh diperkatakan ramai, Awie berkata, perkara itu belum diputuskan.

"Saya akui Wings selesa bekerja dengan Edrie sebab itu, pihak kami menawarkannya beraksi bersama Wings dalam persembahan sebelum ini.

"Aspek keserasian menentukan segalanya sama ada Edrie akan menjadi anggota Wings atau sebaliknya.

"Begitu juga Sham yang sering mengiringi persembahan Wings sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 5:24 PM