Padi Reborn kembalikan nostalgia peminat. FOTO Amirul Haswendy Ashari
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


SELEPAS tujuh tahun menyepi, Padi Reborn mengembalikan nostalgia dengan memberi persembahan bertenaga melalui 17 buah lagu popular mereka di hadapan lebih 2,000 peminat tempatan bersempena Padi Reborn Exclusive Live In KL di KL Live, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, malam tadi.

Persembahan pembukaan bermula tepat 8.30 malam dengan menampilkan kumpulan muzik tempatan Pitahati yang menyampaikan rendisi lagu popular mereka antaranya Cahaya Buta, Sahabat dan Bintang Biru Kristal Salju.

Selepas itu, penonton dipertontonkan dengan persembahan visual khas perkembangan kerjaya Padi Reborn sejak mereka mula bertapak sebagai Padi pada tahun 1995.

Tepat jam 9.10 malam, Padi Reborn dianggotai Piyu (Gitar), Fadly (Vokal utama), Ari (Gitar), Rindra (Bass) dan Yoyo (Drum) memulakan persembahan mereka dengan lagu Sang Penghibur.

Suasana menjadi lebih gamat tatkala mereka menyampaikan lagu kedua berjudul Begitu Indah yang diterbitkan pada 1999 disambut meriah peminat mereka dengan menyampaikan lagu itu bersama-sama.

Kejutan istimewa buat peminat tempatan apabila mereka menampilkan pemuzik muda remaja, Amira Syahira, 15, bermain drum mengiringi bersama pemain drum Padi Reborn, Yoyo untuk persembahan melalui lagu Bayangkanlah.

Gitaris kumpulan lagenda ini, Piyu turut menyampaikan sebuah lagu berjudul Harmoni sambil memetik gitar.

Penyanyi Aizat Amdan pula muncul berduet dengan mereka melalui lagu Kasih Tak Sampai dan turut menyampaikan lagu terbarunya, Sampai Hari Tua.

Aizat turut berkongsi pengalamannya ketika menonton konsert Padi ketika usianya 19 tahun.

Sebelum menyampaikan lagu Sahabat Selamanya yang popular sebagai lagu runut animasi Upin Ipin, Fadly sempat mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia sempena Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

"Tahniah kepada anda kerana sudah memilih pemimpin pada pilihan raya lalu. Kami sangat gembira buat anda!" kata Fadly sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

Persembahan berakhir dengan lagu Sobat yang juga sinonim kepada panggilan mesra buat peminat Padi Reborn seluruh Asia, dan sebuah lagu bonus berjudul Hitam, sebelum tamat 11 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Julai 2018 @ 5:20 PM