ANTARA babak dalam Sangkar.
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my

Gandingan Remy Ishak dan Zul Ariffin sudah lama dinanti peminat, malah ramai teruja apabila dua figura hebat ini disatukan dalam filem aksi berjudul Sangkar yang baru selesai penggambaran.

Apa tidaknya, masing-masing ada daya tarikan dan kekuatan tersendiri dalam mengangkat naskhah sehingga mereka menjadi buruan ramai penerbit serta pengarah.

Mengetengahkan paparan kegiatan ekstrem yang menggabungkan elemen seni pertahanan diri campuran atau Mixed Martial Arts (MMA), Penerbit Eksekutif Infinitus Productions, Gayatri Su-Lin Pillai berkata, kebolehan luar biasa dua aktor hebat ini akan mengikat perhatian penonton.

Katanya, pemilihan Remy dan Zul dibuat berdasarkan kebolehan mereka membawakan genre aksi selain ramai yang ingin melihat dua aktor ini bergabung dalam sebuah naskhah.

“Saya menerima banyak permintaan daripada peminat yang ingin melihat dua pelakon ini beraksi dalam sebuah filem. Justeru, kami sepakat memilih Remy dan Zul untuk menerajui Sangkar.

“Saya percaya filem ini akan memberi impak positif kepada penonton kerana masing-masing teruja membawakan watak serta hampir keseluruhan lagak aksi ngeri dilakukan sendiri.

“Melihat perjalanan penggambaran dilakukan di sekitar Kuala Lumpur, saya percaya filem ini akan diterima ramai kerana jalan ceritanya yang dramatik serta menghiburkan,” katanya.


ZUL.

Sebagai penerbit, Gayatri yakin Zul dan Remy mempunyai nilai komersial serta bakat hebat.

“Kebolehan lakonan dua bintang ini tidak perlu dipersoalkan. Malah mereka juga memiliki nilai komersial untuk menarik penonton ke panggung. Lagipun, filem ini akan menyaksikan pertembungan mereka membawakan watak utama bersama buat julung kalinya.

“Malah, filem ini juga membawa pemenang MMA bagi beberapa pertandingan, James McSweeney sebagai pelakon tambahan bagi memberikan nilai tambah.

“Kami mahu memastikan filem ini dilihat seperti sebuah pertandingan MMA yang sebenar. Jadi kami mempelawa James untuk turut sama membintangi filem ini,” katanya.

Selain Zul dan Remy, filem arahan Kabir Bhatia itu turut dibintangi Niezam Zaidi, Mira Filzah, Adam Mika, Ray dan Arman Graseka.


JAMES (kiri) turut terbabit dalam Sangkar.

Bagi Zul, Sangkar memberi kepuasan kepada dirinya memandangkan ia bergenre aksi.

“Jika kita lihat situasi industri filem sekarang sudah banyak syarikat produksi menghasilkan filem aksi.

“Ia perkembangan yang baik untuk industri dan dapat beri lebih peluang kepada pelakon seperti saya kerana genre aksi sebelum ini jarang dihasilkan.

“Meskipun penggambarannya dilakukan pada bulan Ramadan, saya okey kerana melihatnya sebagai cabaran untuk melakukan sesuatu di luar kebiasaan saya,” katanya.

Remy pula berkata, demi memenuhi tuntutan watak dia terpaksa menambah berat badan sebanyak 10 kilogram.

Filem yan menelan belanja RM2. 8 juta itu menuntutnya menjadi lebih sasa dan menguasai seni pertahanan diri.

“Bagi merealisasikan karakter yang diingini pengarah, saya gandakan pengambilan protein dan mengambil khasiat tambahan.

“Selain itu, saya juga kerap bersenam bagi memastikan stamina konsisten sepanjang penggambaran. Dalam filem ini babak pertarungan bukan sekadar lakonan tetapi perlu dilakukan secara ‘real’,” katanya seraya memaklumkan Sangkar akan menemui penonton pada Mei 2019.


REMY.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Julai 2018 @ 6:55 AM