SESI latihan.
Ridzuan Abdul Rahman

mohamadridzuan@ hmetro.com.my

Tentu ramai antara kita berasa pelik apabila mendengar perkataan Langgang Branyo. Ia sebenarnya tarian Portugis yang diketengahkan sewaktu pendudukan mereka di Melaka bermula 1511.

Tarian ini kemudian diubah mengikut budaya Melayu pada waktu itu. Lama-kelamaan ia diubah kepada tarian joget yang dikenali oleh semua masyarakat Malaysia sekarang.

Bagi peminat seni tarian, mereka boleh menyaksikan persembahan Langgang Branyo anjuran Fakulti Pengurusan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Persembahan membabitkan pelajar tahun satu Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Seni dan Budaya di bawah subjek Pengurusan Teater & Tari ini dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Wilayah Persekutuan.

Ia berlangsung dua hari bermula malam ini (29 Jun) dan malam esok (30 Jun) di Auditorium JKKN Wilayah Persekutuan, Jalan Tun H S Lee, Kuala Lumpur jam 8.30 malam.

Selain menjadi medan latihan kepada pelajar, pementasan ini bertujuan memupuk kesedaran masyarakat Malaysia supaya menghargai seni budaya negara dan mengenal pasti bila serta di mana joget ini bermula pada asalnya.

Pada masa sama, persembahan ini akan diselitkan dengan budaya, stail sekali gus busana yang digunakan mengikut era perkembangannya.

Ia turut bertujuan mendedahkan kepada masyarakat mengenai jenis tarian joget yang wujud di Malaysia, memantapkan usaha dalam memulihara seni dan warisan bangsa serta menambahkan pengetahuan berkenaan seni serta budaya warisan negara.

Barisan koreografer yang terbabit untuk persembahan ini ialah Ealbie Breandent Abinus (Tandak), Douglas Philip Labadin (Tarantella), Dayang Norinah Datu Gastan (Branyo), Muhammad Nur Azammudin Tumiran (Ronggeng Melayu), Nur Farahin Omar (Joget Pahang, Joget Usik Mengusik, Joget Burung Tiong) serta Mohd Shafiq Md Yussof (Joget Senyum Memikat).

Tidak ketinggalan, Muhamad Zakwan Hafizie Zakaria (Joget Toleh Menoleh, Joget Kasih LRT), Muhammad Syazwan Razali (Joget Selfie) dan Mohd Seth Hamzah (Joget Pucuk Pisang).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 2:14 AM