TIGA pelakon This Is Pilah ceritakan pengalaman berlakon.
BARISAN pelakon dan kru This Is Pilah.
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


Filem yang mengangkat tema adat, kemasyarakatan dan disuntik pula dengan dialek setempat bukan baru di Malaysia.

Terbaru, This Is Pilah yang mula ditayangkan sejak Khamis lalu menggunakan dialek Negeri Sembilan sebagai latar dialog dan isu adat perpatih sebagai tema cerita.

Bertemu dengan tiga pelakon muda yang membintangi filem ini, Juzzthin, W.A.R.I.S dan Iesna di studio Balai Berita, baru-baru ini, pelbagai cerita menarik dikongsikan mereka.

Bercerita mengenai watak bernama Jasni, Juzzthin berlakon sebagai anak Pak Dollah, lakonan Kazar.

“Saya jadi anak lelaki tunggal dan tinggal bersama Pak Dollah. Satu hari Pak Dollah bertanya kepada Jasni mengenai perkahwinan dan akhirnya Jasin bertemu dengan Ara, lakonan Iesna.

“Sebelum ini saya pernah berlakon dalam beberapa filem tetapi sekadar satu, dua babak dan berdialog sekejap saja. Kali ini saja saya dapat peluang lebih panjang di dalam filem,” kata Juzzthin yang pernah muncul sebagai cameo dalam filem J-Revolusi, sebelum ini.

W.A.R.I.S ‘tobat’ nak berlakon lagi

Sahabat baiknya, W.A.R.I.S pula berlakon sebagai sepupu Jasni dan muncul pada satu babak saja dalam filem arahan Rosli Md Dali ini.

W.A.R.I.S berkata, walaupun sekadar satu babak, watak itu ibarat kunci kepada kekusutan yang berlaku di dalam isu yang dibangkitkan.

“Dalam babak itu, saya akan keluarkan satu bidalan lama orang Negeri Sembilan yang akhirnya merungkai masalah yang berlaku antara hubungan Jasni dan Ara.

“Saya terima tawaran berlakon filem ini sebab mahu beri sokongan kepada Juzzthin saja. Ikutkan saya mahu buat lagu runut bunyi dan tidak mahu berlakon kerana tak pandai dan tak minat pun,” katanya.

Katanya, kali terakhir berlakon sebelum filem ini adalah melalui drama Si Kolot Suami Ku, dia pernah demam.

Malah, ketika muncul dalam satu babak melalui filem Gamatisme dua tahun lalu pun disebabkan mahu beri sokongan kepada Juzzthin.

Katanya, minatnya hanya pada muzik dan andai ada tawaran berlakon sekali pun selepas ini, biarlah ia berkaitan dengan muzik seperti filem muzikal.

“Berlakon tak macam ‘rap’ sebab lirik kita tulis sendiri. Saya anggap penampilan dalam This Is Pilah adalah terakhir daripada saya.

“Bukan sebab duit tapi kalau nak buat pun, biarlah sebab minat itu datang daripada diri sendiri, bukan dipaksa-paksa,” katanya.

Bercerita pengalaman lalu, dia akui pernah menjalani 18 ‘take’ hanya untuk satu babak dalam sebuah telefilem.

Malah, dalam drama Si Kolot Suami Ku, dia pernah dimarahi pengarah kerana tidak boleh melakonkan babak menangis.

Disebabkan itu, W.A.R.I.S yang baru muncul dengan single terbaru berjudul Basmallah, akhirnya sedar bidang lakonan bukan minatnya.

Katanya, lebih baik menyerahkan dunia lakonan sepenuhnya kepada Juzzthin saja kerana rakannya itu jauh lebih berilmu dalam bidang ini.

Iesna anggap syarikat produksi berani

Iesna yang membawa watak Ara berkongsi wataknya sebagai kekasih Jasni tetapi tidak dapat berkahwin kerana isu adat yang didakwa berkaitan dengan suku yang sama.

“Ini adalah lakonan pertama saya dan anggap pihak produksi sangat berani mengambil saya berlakon walaupun baru.

“Walaupun membawa watak utama, saya tetap pergi uji bakat filem ini dan untuk serasikan diri, kami sering bergurau senda dengan kru lain untuk mendapatkan keserasian,” katanya tidak tertekan sepanjang penggambaran.

Kata Iesna, dia tidak pernah ambil tahu dan sedar banyak perkara yang perlu dipelajari disebabkan tiada asas lakonan,

Gadis yang pernah menyertai program realiti Clever Girl mewakili Negeri Sembilan ini berkata, dia tidak pernah terfikir untuk bergelar pelakon.

“Minat saya dalam bidang pengacaraan dan andai ada tawaran dalam lakonan, saya kena pilih yang bersesuaian.

“Kalau watak okey, saya terima. Tengoklah pada penerimaan orang tapi kalau orang letak harapan tinggi pada saya, tengoklah macam mana,” kata gadis asal Jelebu ini.

Katanya, minat pada lakonan adalah 50-50 kerana tahu cabaran dalam bidang ini adalah berbeza. Pun begitu, andai rezeki sudah tertulis dalam bidang ini, dia terpaksa ikutkan saja.

Adat Perpatih diangkat secara santai

Walaupun wataknya muncul sekejap saja, banyak perkara mengenai adat itu dipelajari W.A.R.I.S sebelum ini.

“Saya belajar mengenai Adat Perpatih melalui orang-orang tua di kampung saya sebelum ini dan apabila masuk ke set, saya sudah faham mengenai dialog yang dilontarkan terutama mengenai isu perkahwinan,” katanya.

Juzzthin turut berkongsi pendapat serupa dan mengetahui mengenai adat turun-temurun ini sejak kecil.

Contohnya, setiap suku ada pantang larang tersendiri dan jika pasangan bercinta datang daripada suku yang sama, mereka tidak boleh berkahwin.

“Saya harap selain penonton dapat tahu mengenai adat di dalam filem ini, mereka dapat berhibur sebab ia disampaikan dengan cara ringan saja, tidaklah berat sangat.

“Kami sudah buat sehabis baik dan ikhlas. Sepanjang penggambaran, kami berseronok dan tidak tertekan. Harapannya apabila menonton, penonton boleh ‘rasa’ dengan elemen yang diselit ke dalam filem,” katanya.

Iesna juga gembira dengan penerimaan baik segelintir masyarakat Negeri Sembilan yang sudah mengetahui mengenai kehadiran filem ini di pawagam berhampiran.

Katanya, dia tidak pasti dengan penerimaan orang luar kerana filem menggunakan dialek Negeri Sembilan agak baru berbanding dialek utara atau pantai timur yang sudah ada sebelum ini.

“Kami tidaklah harap filem ini akan ‘wow’, cuma saya boleh katakan, dapat sambutan baik dan penonton faham dengan jalan ceritanya, kira okey,” kata Iesna.

Gadis ini juga berharap filem ini dapat menaikkan namanya selepas pernah muncul dalam drama Toyol Ke London, tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 1:00 PM