RAKAMAN video rakyat Malaysia yang berada di Australia menyampaikan ucapan Aidilfitri yang dimuat naik ERA FM di Instagram.
Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


Menjelang Syawal lalu, stesen radio ERA membuka ruang kepada pendengar untuk menyampaikan ucapan Aidilfitri kepada keluarga dan rakan di segmen JoHaRa Pagi ERA.

Lebih mengejutkan apabila ERA FM turut menerima permintaan tinggi daripada rakyat Malaysia yang berada di luar negara untuk membuat ucapan.

Penerbit JoHaRa Pagi ERA, Niq Nur Azarina Sahhrin berkata, pihaknya tidak membuat sebarang pengumuman mengenai ucapan Adilfitri di media sosial.

“Kami mula meminta pendengar menghubungi stesen untuk membuat ucapan Aidilfitri pada Rabu dan Khamis.

“Tak sangka dapat panggilan daripada rakyat Malaysia bekerja di luar negara yang terpaksa menyambut Aidilfitri di perantauan.

“Disebabkan masa terhad, kami hanya dapat memilih ucapan daripada 12 pendengar saja,” katanya.

Selain panggilan ke stesen radio itu, Azarina memberitahu, pendengar luar turut menyampaikan ucapan mereka menerusi WhatsApp ERA FM.

“Terdapat puluhan ucapan, kiriman video serta gambar daripada pendengar luar. Kami ada memilih beberapa ucapan video bersesuaian dan dikongsi di akaun rasmi Instagram ERA FM,” katanya.

Menurut Azarina, sebahagian besar pendengar berkenaan adalah rakyat Malaysia yang bekerja sebagai pemetik buah di Australia dan mereka memberitahu mendengar ERA FM sambil bertugas.

“Kami terharu mereka sanggup menghubungi stesen radio dan ingin mengucapkan terima kasih kerana menjadi pendengar setia,” katanya.

“Bukan saja di Australia, kami juga ada pendengar setia di Jerman dan Mesir yang juga anak Malaysia,” katanya.

Selain musim perayaan, Azarina berkata, stesen radio itu turut menerima panggilan daripada pendengar Malaysia di luar negara untuk menyertai permainan dalam segmen Spontan ERA yang dikendalikan penyampai Johan, Haniff dan Ray.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 12:43 PM