EXTREME julung kali berkunjung ke Malaysia.
Riadz Radzi
riadz@hmetro.com.my

Tidak dinafikan lagu More Than Words membuatkan band rock Extreme dikenali di seluruh dunia termasuk dalam kalangan bukan peminat rock.

Malah, kebanyakannya hanya mengenali Extreme kerana lagu balada akustik itu walaupun band ini sebenarnya pernah menghasilkan lima album dari 1989 hingga 2008.

Extreme mendominasi muzik dunia apabila More Than Words menduduki tangga pertama dalam carta Billboard Hot 100 pada 1991.

Bukan itu saja, Extreme juga digilai kerana ketua kumpulan dan gitarisnya, Nuno Bettencourt. Ketika berusia 20-an pada awal 1990-an, gitaris keturunan Portugis ini bukan saja diiktiraf sebagai antara gitaris rock muda terbaik, tetapi juga paling kacak dan digilai ramai peminat wanita.

Malah, ketika usia mencecah 51 tahun kini, Nuno masih menjadi dambaan wanita. Dia masih lagi menjadi tarikan utama penonton untuk menonton konsert mereka.

Inilah yang berlaku dalam konsert sulung Extreme di Malaysia yang berlangsung di KL Live, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


NUNO tarikan utama dalam Extreme.

Extreme yang turut dianggotai Gary Cherone (penyanyi), Pat Badger (bass) dan Kevin Figueiredo (dram) memberikan persembahan terbaik dan bertenaga apabila penonton nyata terhibur dan menyanyi bersama-sama.

Mereka memulakan persembahan tepat jam 9 malam dengan lagu It (’s a Monster), Li’l Jack Horny dan Get The Funk Out. Tiga lagu ini adalah daripada album kedua mereka, Pornograffitti yang juga album paling popular Extreme yang dipasarkan pada 1990.

Populariti Nuno terserlah dalam konsert ini apabila kerap menjadi tumpuan penonton. Jeritan nakal daripada peminat wanita seperti ‘I love you Nuno’ kedengaran hampir setiap masa. Suasana tambah gamat apabila dia pula membalasnya dengan berkata, ‘Yeah, I love you too’.

Apa yang pasti, Nuno memang gitaris hebat. Walaupun kualiti sistem bunyi pada malam itu mengecewakan, Nuno berjaya ‘menutupnya’ dengan baik.


GARY (dari kiri), Pat dan Nuno sudah bersama sejak album sulung Extreme pada 1989.

Teknik permainan, ‘skill’, riff dan solo yang dilakukan Nuno menyerlahkan kredibilitinya sebagai antara gitaris rock terbaik. Sesuai dengan muzik daripada Extreme yang dikenali dengan funky metal yang digabungkan dengan rock klasik, post-grunge dan rock alternatif.

Gary juga tidak kurang hebatnya yang dilihat cukup bertenaga ketika mereka membawakan lagu-lagu fast seperti Rest In Peace, Play With Me, Cupid’s Dead, Am I Ever Gonna Change dan Take Us Alive.

Ini ditambah dengan pengalamannya menganggotai band rock legenda Van Halen pada 1996.

Ketika kru meletakkan dua ‘stool’ (kerusi) di tengah-tengah pentas, penonton sudah mula menjerit kerana tahu apa lagu yang bakal Extreme bawakan.

“Yeah! Lagu itu, dua kerusi dan dua lelaki. Gitar akustik. Anda memang tahu lagunya, bukan?” kata Nuno yang pantas disambut sorakan penonton kerana Extreme bakal membawakan lagu dinanti-nanti iaitu More Than Words.


TEKNIK dan gaya permainan gitar Nuno memukau penonton.

Kata-kata Nuno itu merujuk kepada klip video lagu terbabit pada 1991 yang menampilkan dia bersama Gary. Kedua-duanya duduk di atas kerusi sambil Nuno bermain gitar akustik dan menyanyikannya secara harmoni dengan Gary.

Dan, sebagaimana dalam klip video berkenaan, begitulah yang mereka lakukan dan penonton turut menyanyikan bersama dari awal hingga akhir.

Selain itu, Nuno turut melakukan aksi solo menerusi lagu Midnight Express dan Flight of the Wounded Bumblebee.

Extreme menutup persembahan pada malam itu dengan lagu Decadence Dance dan ‘encore’ lagu We Are The Champions yang dipopularkan Queen.

Terdahulu, band rock tempatan Estranged diberi penghormatan sebagai ‘opening act’ konsert terbabit. Apa yang menarik, Nuno turut memuji persembahan Estranged yang disifatkan sebagai band yang hebat.


KEVIN

Sejak ditubuhkan di Massachusetts, Amerika Syarikat pada 1985, ini kali pertama Extreme mengadakan konsert di Malaysia. Ia sempena konsert jelajah Asia yang bermula di Kuala Lumpur. Selain itu, Extreme kelak singgah di Singapura, Bangkok dan Taipei.

Dalam konsert anjuran IMC Live Group berdurasi dua jam itu, Extreme juga membawakan lagu yang memang dikenali peminat mereka seperti Tragic Comic, Hole Hearted, Hip Today dan He-Man Woman Hater.


NUNO (kanan) bersama Pat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Jun 2018 @ 4:40 AM