BETTY berkongsi mengenai kecederaan mata kirinya di IG miliknya. FOTO IG Betty Banafe.
Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


PELAKON Betty Banafe, 39, menderita kesakitan selepas mata hitam kirinya cedera akibat tertusuk dengan mainan Lego anaknya, baru-baru ini.

Pemilik nama sebenar Betty Ibtisam Abu Bakar Banafe itu menerusi akaun Instagram miliknya berkata, dia sudah mendapatkan rawatan.

“Anakku tertusuk mataku dengan mainan Lego. Pengorbanan seorang ibu pada anaknya yang aktif, masya-Allah hingga melukakan mata hitam.

“Kita para ibu diberi kesabaran tertinggi,” jelasnya.

Pelakon filem Hijabsta Ballet itu turut berkongsi beberapa gambar keadaannya bersama dua anak kecilnya di Instagram.

Sementara itu, Betty meluahkan kesyukuran masih boleh melihat dengan jelas dan mengagumi individu yang cacat penglihatan.

“Bayangkan mereka yang buta, ‘salute’ pengorbanan mereka dan orang sekeliling.

“Kuatnya semangat mereka untuk hidup kerana Allah,” katanya.

Dalam pada itu, Betty turut meminta pengikutnya mendoakan yang baik untuk keluarganya.

Betty mendirikan rumah tangga dengan Bruce Darghous pada Disember 2012 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Jun 2018 @ 8:01 PM