KELUARGA bahagia Aaron dan Diyana.
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my

Tidak dapat dinafikan, pelakon popular Datuk Aaron Aziz sudah mengecapi segalanya selepas hampir dua dekad berkecimpung dalam bidang lakonan.

Aaron, 42, mengakui, dia juga tidak mengejar glamor dan populariti mahupun bersaing dengan barisan artis muda yang mewarnai bidang seni tanah air ketika ini.

“Saya tidak pernah menganggap persaingan dengan bakat baru yang mewarnai industri hiburan kerana percaya setiap rezeki adalah dari Allah.

“Saya juga masih terbabit dalam bidang lakonan, tetapi tidak lagi terkejar-kejar seperti zaman awal pembabitan dulu.

“Selain berlakon, saya juga menjalankan perniagaan sebagai jaminan masa depan kami sekeluarga,” katanya.

Pada sesi fotografi yang diatur RAP sempena Aidilfitri di kediamannya di Shah Alam, baru-baru ini, Aaron mengakui dia sangat memilih dengan setiap naskhah filem atau drama yang ditawarkan ketika ini.

“Walaupun memilih, agenda seni saya juga padat sehingga hujung tahun nanti.

“Selepas berlakon telefilem Renyai Takbir Raya terbitan Global Station, saya akan terbabit dengan drama Meet The MP musim kedua di Singapura pada Julai nanti.

“Saya juga dapat tawaran berlakon filem, tetapi terpaksa menolaknya kerana ia membabitkan penggambaran di luar negara.

“Selain itu, saya juga ada tawaran berlakon projek drama baru, tapi masih dalam perbincangan,” katanya.


AARON dan Diyana bahagia melayari rumah tangga bersama.

Mengulas mengenai telefilem Renyai Takbir Raya pula, kata Aaron, dia terima tawaran berlakon dalam cerita itu kerana tertarik dengan skripnya.

“Saya sudah bosan melakonkan watak lelaki kacak, comel dan kisah cinta seperti sebelum ini. Namun, watak yang ditawarkan dalam telefilem ini sangat berbeza.

“Cerita ini berdasarkan kisah benar dan memaparkan suami yang sangat menyayangi isterinya.

“Namun, berlaku musibah dalam keluarga dan dugaan berat juga datang pada Aidilfitri,” katanya.

Aaron juga baru pertama kali bergandingan dengan Sharifah Sakinah dalam projek telefilem itu.

“Mungkin Sakinah dikenali dengan karakter gila-gila di Instagram, tetapi kali ini dia tampil berbeza.

“Ia juga kali pertama Sakinah bergandingan dengan hero yang bukan pelawak seperti saya,” katanya.

Beraya dalam kesederhanaan

Sudah menjadi tradisi, Aaron sekeluarga meraikan Aidilfitri di tanah kelahirannya Singapura setiap tahun.

“Tahun ini, kami menyambut Aidilfitri secara sederhana saja. Segala persiapan diuruskan isteri termasuk menempah lima pasang baju raya sedondon buat kami sekeluarga.

“Kami juga pulang ke Singapura lebih awal untuk menguruskan perniagaan di sana.

“Mengikut perancangan, kami akan beraya hampir dua minggu untuk melawat ahli keluarga di Singapura,” katanya.

Aaron juga mengamalkan sistem giliran untuk beraya dengan isteri setiap tahun.

“Pada tahun ini, kami beraya di rumah keluarga sebelah isteri pada hari raya pertama dan selepas itu di sebelah keluarga saya pula.

“Menu wajib pagi raya ialah masakan ibu iaitu rendang daging, kuah lodeh, serunding kelapa dan ketupat. Biskut raya kegemaran pula ialah Cornflakes yang dinasak isteri,” katanya.

Aaron dan Diyana berkahwin pada Ogos 2003. Pasangan bahagia ini dikurniakan tiga anak iaitu Danish Anaqi, 13, Dwi Ariana, 11, dan Dahlia Arissa, 7.


ANAK-anak pengikat kasih Aaron dan Diana iaitu Danish, Dahlia serta Dwi Ariana.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Jun 2018 @ 8:00 AM