Syafil Syazwan Jefri

syafil.syazwan@ hmetro.com.my.

Lagu raya sentiasa menjadi sumber untuk mendapatkan mood raya dan bersempena sambutan Aidilfitri tahun ini, ada buah tangan terbaru buat peminat muzik.

Terbaru, 12 penyanyi dari dua generasi digabungkan dalam satu album yang diberi judul Nada Seni: Gema Lebaran Legenda.

Apa yang menarik, album ini tidak menampilkan lagu ciptaan terbaru, sebaliknya mempertaruhkan lagu raya malar segar dan dirakam semula.

Semua lagu yang dimuatkan dalam album ini dinyanyikan semula penyanyi berbeza bagi memberikan nafas baru, di samping menyajikan interpretasi berbeza buat pendengar.

Antara yang menarik perhatian adalah lagu Suasana Hari Raya yang pernah dipopularkan Anuar Zain dan Elina, dinyanyikan semula kakaknya, Ziana Zain bersama Hael Husaini.

Selain itu, Ziana juga menyanyikan semula lagu Halaman Asmara yang pernah dipopularkannya bersama Datuk Awie. Namun, kali ini, dia berkongsi lagu ini dengan penyanyi generasi baru, Hazama.

ANTARA artis yang terbabit.

“Tak sukar untuk saya bekerjasama dengan Hazama kerana ‘range’ suaranya juga tinggi, sesuai dengan lagu Halaman Asmara,” kata Ziana.

Selain itu, peminat juga berpeluang mendengar semula suara penyanyi veteran, Sanisah Huri menerusi lagu popularnya Aidilfitri dan Joget Aidilfitri.

“Saya sendiri pun tak sangka lagu ini akan dirakamkan semula. Seronok apabila berpeluang bekerjasama dengan komposer serta penyanyi hebat yang lain,” katanya.

Tentunya 24 lagu yang dipertaruhkan dalam album ini akan menghangatkan lagi sambutan Aidilfitri.

• ALBUM: Nada Seni: Gema Lebaran Legenda

• PENYANYI: Datuk Yusni Hamid, Sanisah Huri, Salamiah Hassan, Ramlah Ram, Ziana Zain, Salwa Abdul Rahman, Haziq, Fazli Zainal, Hazama, Syamel, Hael Husaini dan Salma Asis

• KOMPOSER: Ajai, S Atan dan Hadi Hassan

• TERBITAN: Eight Minarets Sdn Bhd

• EDARAN: Universal Music Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Jun 2018 @ 12:49 PM