Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my

Bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri, Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak ketinggalan menerbitkan program khas buat peminat.

Bagi penonton TV1, mereka boleh menonton Konsert Dimensi Legenda Raya yang akan disiarkan pada 17 Julai 2018, jam 9 malam.

Penerbitnya, Sabrina Onn berkata, RTM terus komited memberi laluan kepada artis legenda popular era 60-an hingga 90-an yang masih berkecimpung dalam dunia seni serta masih berkemampuan untuk terbabit dalam rancangan ini.

“Memandangkan format rancangan ini memainkan lagu raya yang malar segar, pemilihan artis adalah berdasarkan mereka yang ada lagu raya popular dan masih dimainkan hingga ke hari ini.

“Selain itu, terdapat Segmen Memori Untukmu iaitu artis baharu popular seperti Khai Bahar dan Wani Hasrita menyanyikan lagu raya artis yang sudah tiada seperti Allahyarham S Jibeng dan Allahyarham Datuk Sharifah Aini,” katanya.

Menurut Sabrina, legasi penyanyi senior harus diteruskan kerana tanpa mereka, industri muzik tanah air tidak akan bersinar.

“Boleh dikatakan lagu mereka seringkali menjadi pilihan pendengar setiap kali menjelang Aidilfitri. Tidak sah rasanya tak mendengar lagu mereka ketika lebaran.

“Saya berharap peminat tidak ketinggalan menyaksikan Konsert Dimensi Legenda Raya apabila disiarkan nanti,” katanya.

Antara nama besar yang tampil dalam program ini ialah Datuk M Nasir, Ziana Zain, Noraniza Idris, Jay Jay, Uji Rashid, Herman Tino, Datuk Malek Ridzuan, Salwa Abdul Rahman, Dayangku Intan, Khairil Johari Johar dan Aman Shah.


UJI Rashid dan Hail Amir.

Sementara itu, radio Klasik pula tidak ketinggalan menerbitkan program berjudul Ketupat Rendang Jalinan Kasih 2018 yang turut menampilkan barisan artis lama dan baharu.

Mereka yang terbabit ialah Junainah M Amin, Khairil Johari Johar, Dayangku Intan, Uji Rashid, Hail Amir dan Aman Shah.

Artis generasi baharu yang terbabit ialah Gmie Screen, Mardiana Alwi dan pasangan penyanyi adik-beradik, Farah Hazel dan Aiman Tino.

Penerbitnya, Muhd Hammami Yusoff berkata, ini adalah salah satu program terbitan Radio Klasik bagi mengisi sambutan Aidilfitri.

“Biasanya tahun terdahulu kami meletakkan judul Ketupat Rendang. Namun kali ini kami menjalinkan kerjasama dengan beberapa pihak seperti Hotel Sri Petaling dan Kelab Civic Malaysia, jadi sesuailah nama Ketupat Rendang Jalinan Kasih digunakan.

“Ini adalah tahun kelima program ini diterbitkan. Cuma, sebelum ini kami buat di Angkasapuri membabitkan penyampai kami.

“Kali ini kelainan dibuat dengan sesi rakaman membabitkan artis dan kami turut mengundang anak yatim daripada Pertubuhan Rumah Anak Yatim Islam Kajang untuk sama-sama memeriahkannya,” katanya.

Menurut Muhd Hammami, Ketupat Rendang Jalinan Kasih akan disiarkan sebanyak dua episod iaitu pada hari raya pertama dan kedua, jam 3 petang.

Ulangannya pula akan dibuat pada hari raya ketujuh dan kelapan juga pada waktu yang sama.


GMIE Screen dan Ayai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Jun 2018 @ 12:05 PM