STACY dan Akim bersama dua anak mereka. Petikan instastory daripada Instagram Stacy (gambar kecil).
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


SEMPENA menyambut 1 Syawal, penyanyi popular Stacy mengambil inisiatif menjahit baju raya sendiri termasuk untuk suami Akim Ahmad dan dua anaknya Bella Deluna, 6, dan Eshaal, setahun.

Stacy atau Ummu Shaikhah Stacy Anam, 28, berkata dia belajar menjahit menerusi YouTube dan buku jahitan sejak April lalu.

“Ini semua atas permintaan Akim, selepas saya menjahit sendiri baju anak pada Pesta Kaamatan yang disambut April lalu.

“Sejak itu, dia minta saya buat lagi untuk baju raya. Jadi, dia belikan saya mesin jahit lengkap dengan mesin jahit tepi.

“Nak tak nak, saya kena buat. Apatah lagi, dia sudah beli kain. Saya ingat sepasang, tetapi dua (pasang). Kalau sudah pakar, tidak mengapa. Sekarang jahitan pun belum kemas dan ada yang kena buka semula,” katanya kepada Harian Metro.

Stacy yang muncul dengan single Raja berkata, dia mula menjahit sejak awal bulan ini dan berharap baju mereka sempat disiapkan sebelum pagi raya.

“Akim jenis teliti. Setiap kali saya jahit, dia akan periksa sama ada okey atau tidak. Kalau ada jahitan tidak kemas, dia suruh buka dan jahit semula. Pendek kata, menjahit bukan mudah dan memerlukan tahap kesabaran tinggi.

“Pada mulanya, ia jadi minat baru. Tetapi, selepas melalui proses ini, saya terus jadi malas. Saya selalu berseloroh dengan Akim mengenai perkara ini, tapi dia cakap kena juga berusaha sebab saya sudah mula dari awal,” katanya yang menjahit baju kurung biasa dan baju Melayu teluk belanga.

Selain menjahit, sepanjang Ramadan ini Stacy turut membuat kuih raya antaranya biskut Makmur, Tat Nenas dan Semperit.

“Memandangkan Ramadan ini saya tidak sibuk dengan kerjaya, jadi saya ambil peluang untuk buat sesuatu yang baru.

“Bukan saja menjahit, tapi juga buat kuih. Ia lebih kepada suka-suka. Semuanya belajar sendiri. Apa yang kelakar, ada kuih yang sudah siap dan habis dimakan. Jadi, kena buat lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Jun 2018 @ 4:13 PM