EMILIA Clarke
Susunan Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my

Bagi mengelak sebarang maklumat siri popular Game of Thrones (GOT) dibocorkan kepada umum, produksi melarang pelakonnya membawa kamera dan telefon bimbit ke set penggambaran.

Disebabkan itu, bintang siri terbitan HBO ini, Emilia Clarke mencatatkan segala pengalamannya dalam buku jurnal.

Antara catatan harian pelakon berusia 32 tahun itu termasuk kenangan di belakang tabir penggambaran.

Menurut Clarke, jurnal itu sebagai persediaan sebelum berpisah dengan wataknya, Daenerys Targaryen apabila siri berdasarkan novel George R R Martin terbabit menamatkan kisahnya pada musim kelapan.

Pelakon jelita itu turut meminta jurugambar Helen Sloan yang bertugas di set penggambaran untuk mengambil gambar di sebalik tabir sebagai kenangan.

Dalam temu bual bersama majalah Vanity Fair, baru-baru ini, Clarke memberitahu merancang berkongsi jurnal dan gambar berkenaan kepada peminat GOT pada masa depan.

Pada sesi temu bual berasingan dengan majalah Rolling Stone, Clarke mengakui lakonannya dalam GOT membantu melonjakkan namanya dalam industri hiburan.

Sebelum ditawarkan watak Daenerys, pelakon Britain terbabit mendedahkan berdepan kesukaran mencari rezeki dalam dunia lakonan.

Persembahan Clarke dalam GOT semakin menyerlah manakala wataknya memainkan peranan penting dalam kisah fantasi itu selain antara kegemaran peminat.

Sepanjang tujuh tahun membintangi GOT, pelakon berkenaan diberi kepercayaan membawa watak besar dan penting sebagai Sarah Connor dalam filem Terminator Genisys diikuti kisah romantis Me Before You.

Terbaru ini pula, bintang Hollywood itu beraksi dalam filem Han Solo sebagai Qi’ra, leftenan kepada penjahat Dryden Vos.

Menurut Clarke, dia sudah menandatangani kontrak untuk berlakon dalam beberapa filem Star Wars.

“Namun, perjanjian itu bukan bermaksud saya dijamin lakonan dalam filem Star Wars,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 12:18 PM