Shima terpaksa ambil ubat tahan sakit. FOTO MAHZIR MAT ISA
Ridzuan AbdulRahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


“SUDAH lebih seminggu saya mengalami sakit leher yang teruk. Ditambah pula gastrik yang sangat memeritkan,” luah penyanyi Shima berkenaan kesakitan dialaminya sekarang.

Shima atau Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman, 49, sudah lama berdepan masalah sakit saraf dan sakit belakang.

Penyanyi lagu Teringin itu mengakui, penyakit yang dideritai itu semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

“Saya sudah merujuk kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan pemeriksaan sinar X (X-ray) dibuat mendapati tulang belakang saya sudah terkeluar.

“Hari ini, saya bertemu doktor pakar tulang belakang pula dan diminta menjalani proses imbasan MRI (Magnetic Resonance Imaging) pada 11 Jun nanti.

“Proses itu perlu dibuat bagi melihat dan mengenal pasti masalah sebenar saya hadapi,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, kesakitan dialami membuatkan pergerakannya terhad dan hanya bergantung kepada ubat diberikan doktor untuk mengurangkan kesakitan.

“Ubat diberi hanyalah ubat tahan sakit (painkiller) dan merehatkan otot. Ikutkan doktor suruh buat pembedahan tapi saya tiada duit selain risikonya tinggi kerana faktor usia.

“Apapun saya akan dengar dulu apa kata doktor sebelum buat keputusan lanjut.

"Jika kedudukannya 50:50 saya akan fikir mendalam. Namun jika kesannya positif saya akan buat pembedahan,” katanya.

Menyedari kos pembedahan mahal, Shima tidak menolak kemungkinan meminta bantuan persatuan artis serta peminat untuk membantunya.

“Saya memang tiada sumber pendapatan sekarang. Tawaran menyanyi pun sudah lama tidak diterima.

“InsyaAllah minggu depan mungkin saya ada persembahan di Singapura,” katanya bersyukur suaminya banyak membantu melunaskan kos rawatan.

Shima berpesan sekiranya mana-mana pihak ingin menjemputnya menjayakan persembahan boleh menghubungi pengurus di talian 0176085282.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mei 2018 @ 5:42 PM