BTS. FOTO arkib NSTP
AFP

BTS terus mencetuskan fenomena apabila menjadi kumpulan K-Pop pertama berjaya mengungguli carta album Amerika Syarikat, sekali gus meneruskan pengaruh perkembangan genre itu pada peringkat global.

Kumpulan itu berjaya mencatat peristiwa penting semalam, selepas menduduki tangga pertama carta muzik Billboard 200 menerusi jualan album, muat turun lagu dan penstriman.

Terkenal dengan penampilan yang menarik, potongan rambut dan gerak tarian yang direka teliti, kumpulan itu kini menjadi antara ‘produk eksport’ muzik Korea Selatan paling terkenal serta menguntungkan.

“Ia adalah kali pertama bagi kumpulan yang mempunyai tujuh anggota dan yang pertama bagi album K-Pop untuk menerajui carta ini,” kata Billboard dalam laporan dalam talian mengenai kedudukan carta terbaharunya.

Kejayaan BTS itu, sudah pasti mengejutkan pendengar muzik di barat, tetapi amat sukar untuk menafikan populariti kumpulan yang dianggotai oleh Suga, J-Hope, Rap Monster, Jimin, V, Jungkook dan Jin.

Menurut analisis data, BTS adalah kumpulan menjadi fenomena di Twitter pada 2017, malah meraih dua kali ganda lebih daripada gabungan jumlah yang diperoleh oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan penyanyi yang berasal dari Kanada, Justin Bieber.

Malah, kumpulan itu turut mempunyai jumlah pengikut yang ramai di Jepun, China, Asia Tenggara dan beberapa negara di Amerika Latin, sekali gus menjadikan mereka bintang pada peringkat global.

Album terbaharu mereka yang bertajuk ‘Love Yourself: Tear’ berjaya menewaskan album bintang hip hop, Post Malone bertajuk ‘Beerpong and Bentleys’, yang memaparkan imej bertatu, iaitu amat berlawanan dengan imej yang diketengahkan oleh BTS, iaitu bersih dan kemas.

Pada tahun lalu, album terdahulu BTS bertajuk ‘Love Yourself: Her’ menjadi album K-Pop pertama yang berjaya memasuki senarai carta 10 album terbaik Amerika Syarikat, apabila menduduki tangga ketujuh, selain meraih tempat pertama di iTunes di lebih 70 negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mei 2018 @ 12:07 PM