Azhan Rani puas dikecam. FOTO IG Azhan Rani
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


PELAKON Azhan Rani, 42, mengakui dia puas melakonkan watak antagonis sebagai Ustaz Hamadi dalam drama Nur yang teruk dikecam oleh penonton dan netizen di laman sosial.

Ujar pelakon itu, meski pun watak Ustaz Hamadi dikecam teruk, itu bermakna lakonan dipersembahkannya berjaya menjentik hati penonton dan netizen.

"Ingin ditegaskan bukan saya yang dikecam teruk tetapi watak Ustaz Hamadi itu yang membuatkan kebanyakan penonton dan netizen panas hati dibuatnya.

"Melihatkan keadaan itu, saya tahu penonton masa kini juga sudah bijak menilai karya yang baik untuk ditonton mereka.

"Biarpun tuntutan watak Ustaz Hamadi agak berat tetapi dalam dunia realiti semestinya individu seperti itu wujud.

"Dalam soal ini, kalau difikirkan apa saja bidang kerja yang digerakkan insan digelar manusia sudah pasti ada yang baik dan sebaliknya.

"Cuma, apabila ia membabitkan watak seorang ustaz maka itu membuatkan ramai orang sensitif dan geram," katanya.

Apapun, Azhan berkata dia tidak menyangka lakonannya sebagai antagonis itu mendapat perhatian golongan pendakwah juga.

"Biarpun watak Ustaz Hamadi sangat berjaya membuatkan orang bengang, tetapi tak sangka ada juga pendakwah yang menontonnya.

"Semoga apa yang dipersembahkan membawa pengajaran buat kita semua. Mana yang baik diambil dan sebalikya dijadikan sempadan," katanya.

Ditanya juga sejauh mana tahap kepuasan dirasainya untuk watak Ustaz Hamadi itu, Azhan berkata ia lebih besar daripada memenangi anugerah.

Memberitahu dia semakin seronok membaca setiap komen netizen di laman sosial, pemilik nama sebenar Azhan Abdul Rani ini berkata, Shahrulezad Mohameddin boleh dianggap pengarah yang berani.

"Ditambah dengan keterbukaan pihak stesen TV membuka sedikit peluang untuk drama berat sebegini dipertontonkan, sokongan penonton amat penting.

"Harapan saya, semoga 'rating' drama Nur akan melonjak naik sehingga ke episod 19 nanti. 'Trending' di laman sosial saja tidak cukup tanpa 'rating' meningkat," katanya.

Selain Azhan, drama Nur yang mengangkat kisah pelacur turut dibintangi Amyra Rosli, Syafiq Kyle, Noorkhiriah, Fatimah Abu Bakar dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 5:41 PM