JAA Suzuran (kiri) dan Eyka Farhana. FOTO Ihsan Jaa Suzuran
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


INSTAFAMOUS yang bakal bergelar pelakon dan pengacara, Mohamad Faizal Ahmad atau Jaa Suzuran mengakui senang apabila pertama kali bertentang mata dengan pelakon Eyka Farhana. Pertemuan itu diatur selepas Jaa membuat pengumuman di laman sosial miliknya, sekiranya diberi peluang menyanyi secara duet, dia mahu Eyka menjadi pasangannya.

Pengikut instafamous itu membanjiri laman sosial milik Eyka dan meminta agar satu pertemuan diatur bagi membolehkan impian Jaa terlaksana.

Video pertemuan antara Jaa Suzuran dan Eyka yang dimuat naik instafamous terbabit di Instagramnya mendapat sambutan apabila ditonton hampir satu juta pelayar.

Perkara itu secara tidak langsung mencetuskan gosip kononnya kedua-dua selebriti itu tertarik hati antara satu sama lain dan sedang mengenal hati budi masing-masing.

Jaa ketika dihubungi menjelaskan sepanjang pertemuan itu mereka banyak berbicara mengenai minat yang diluahkan sebelum ini iaitu mahu menyanyi secara duet.

“Saya akui Eyka cepat mesra walaupun kami baru saja kenal. Dia mudah diajak berbual. Selain bercerita mengenai mahu berduet bersama, kami turut bercerita mengenai perkembangan kerjaya seni masing-masing.

“Tidak dinafikan Eyka selain cantik, dia juga lembut. Kadang-kadang dia banyak ketawa dan situasi itu membuatkan saya tidak rasa kekok langsung dan senang sepanjang pertemuan diaturkan itu berlangsung,” katanya.

Katanya, pertemuan itu sebenarnya sebahagian daripada gimik dan kemungkinan besar mereka akan tampil bersama dalam single mahupun drama.

“Sekiranya perkara itu berlaku, saya berasa sangat gembira kerana secara tidak langsung akan membuka peluang berada dekat dengan Eyka kerana dapat bertemu selalu untuk bekerjasama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 6:45 PM