Ernie Zakri. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


PENYANYI, Ernie Zakri mengakui dirinya masih belum bertemu pengganti selepas putus cinta kira-kira tiga tahun lalu.

Menurut penyanyi yang kini muncul dengan single terbaru berjudul Misteri, dia juga tidak menolak jika ada lelaki yang ingin mendekati dirinya ketika ini.

“Setakat ini, tiada lelaki yang berani DM (Direct Message) atau ingin berkawan dengan saya.

“Saya juga berasa pelik sedangkan rakan-rakan saya yang lain, ramai saja lelaki yang ingin berkawan dengan mereka,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya kriteria lelaki idaman pula, kata Ernie, 26, dia juga tidak kisah sama ada orang biasa mahupun kalangan artis.

“Saya tidak pernah menolak cinta atau menolak untuk bercinta dengan rakan artis kerana soal jodoh ketentuan Tuhan.

“Jika ada lelaki yang sesuai dan memenuhi kriteria untuk dijadikan pasangan hidup, saya tidak akan menolaknya.

“Tapi setakat ini tiada pun lelaki yang datang untuk mendekati diri ini,” katanya.

Namun, kata Ernie yang pernah digosipkan dengan rakan duetnya, Syamel, dia tidak berasa tekanan bila kerap ditanya soal jodoh oleh pihak media dan peminat.

“Maklumlah, saya sudah menunggu selama lapan tahun untuk dikenali dan menempa nama dalam bidang seni tanah air.

“Justeru, saya mahu fokus untuk memantapkan lagi karier seni.

“Ahli keluarga juga tidak mendesak. Sebab itu bila diasak soal jodoh, saya hanya senyum dan minta semua pihak mendoakan yang baik-baik untuk saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 2:14 PM