Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my

Walaupun genre Hip Hop bukanlah pilihan utama pendengar mutakhir ini, siapa sangka lagu Gong Nekara mampu mencuri perhatian ramai.

Dihasilkan oleh Kmy Kmo dan Luca Sickta, lagu ini ada kelainan dan keunikan tersendiri berbanding karya genre sama yang pernah dihasilkan artis tempatan.

Judulnya saja sudah unik. Mungkin ramai tidak tahu kisah di sebalik Gong Nekara yang memang benar-benar wujud.

Gong ini berasal dari Vietnam dan digunakan sebagai instrumen simbolik bagi melambangkan kebudayaan mereka, semangat ketika berdepan peperangan dan tanda bahaya.

Dari sudut muzik, gabungan duo rapper yang juga anak didik Malique ini bereksperimen dengan pelbagai melodi.

Rencah utama mereka masih ada elemen moden bagi disesuaikan dengan Hip Hop dan disarung dengan nada tradisional bunyi Gong Nekara itu sendiri.

Selain bunyi gong, pendengar akan dapat menghayati bunyi-bunyian seperti gamelan dan kompang.

Dari sudut lirik, ia tidak ‘straight forward’ seperti lagu-lagu Hip Hop tempatan lain sebaliknya menggunakan perkataan bahasa Melayu Nusantara yang boleh disifatkan sebagai ‘bombastik’.

Kmy Kmo berkata, dia tidak menjangka Gong Nekara akan mendapat sambutan sehebat ini.

“Ini di luar jangkaan kami. Ini adalah eksperimen pertamanya.

Walaupun dihambat kontroversi apabila lagu ini dikatakan sindiran buat rapper lain, Kmy Kmo dan Luca Sickta menegaskan, itu bergantung kepada interpretasi pendengar.

“Sekiranya ada peminat dan pendengar ingin kaitkan dengan apa-apa situasi, kami tidak boleh menafikan tindakan mereka. Ertinya, mereka benar-benar mengkaji dan ingin tahu apa inti dalam Gong Nekara itu,” kata Lucka Sickta pula.

Di YouTube, video lirik Gong Nekara yang dimuat naik sejak 12 Mac lalu mencatat lebih tiga juta tontonan.

Khabarnya, video muzik Gong Nekara akan dilancarkan dalam masa terdekat. Sama-sama kita nantikan.

• LAGU: Gong Nekara

• ARTIS: Kmy Kmo ft Luca Sickta

• KOMPOSER: Kmy Kmo

• LIRIK: Kmy Kmo & Luca Sickta

• PENERBIT: Luca Sickta

• EDARAN: UMG & Universal Music Malaysia Sdn Bhd

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 3:33 AM