ANTARA babak dalam Deadpool 2.
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my

Selepas dua tahun, Deadpool (DP) kembali dengan elemen lebih bersifat peribadi tetapi pada masa sama cuba menyuntik elemen universal seperti kasih sayang dan persahabatan.

Plot kali ini lebih ringkas berbanding rendisi lalu, sekali gus menunjukkan DP mengotakan janji untuk bercerita mengenai diri sendiri. Sekuel ini diisi dengan komedi sinis yang lebih baik berbanding dahulu, seterusnya membuatkan penonton mahu lebih banyak dialog ‘lawak bodoh’ dan kritikan.

Namun demikian, masalah utama pada dialog-dialog lucu ini adalah tidak ramai penonton terutama remaja dapat memahami budaya pop. Ini kerana penulis lakon layar dan pengarahnya menggunakan pelbagai rujukan budaya pop daripada beberapa filem popular sepanjang zaman daripada filem Avengers terbaru hinggalah kepada filem Basic Instinct.

Selain sisi itu, DP juga menarik kerana watak utamanya sedia maklum rujukan-rujukan itu dan terus-menerus memberi komen mengenainya. Ia sekali gus membuatkan filem ini tampil dengan pelbagai kejutan.

Dari segi aksi, jujurnya ia tidak semeriah filem pertama kerana asasnya ia boleh dikatakan hampir sama sahaja terutama elemen kesan khas bergaya yang umpama lain-lain filem Hollywood yang berjaya.

Babak-babak akhir secara relatifnya kecil berbanding DP1. Terutama, buat penonton yang menantikan pengakhiran gempak!


ANTARA babak dalam Deadpool 2.

Masalah dengan pengisian DP adalah cuba menjadi semi-realistik berbanding filem daripada komik dengan mengurangkan babak aksi dan fokus terhadap kesan kehidupan remaja seperti jenaka lucah dan karakter bodoh-bodoh alang.

Begitupun DP2 tetap menghiburkan dek banyak letusan budaya pop yang digila-gilakan penonton ‘kaki wayang’, sama seperti filem Ready Player One, bulan lalu.

Komedinya tidak sahaja menggeletek hati malah membuatkan kita sentiasa terfikir dengan perwatakan DP yang menghiburkan meskipun tidak matang dan kebudak-budakan. Ia juga membuktikan pelakon utamanya, Ryan Reynolds tidak menghampakan peminat dengan lakonan yang bersahaja.

Apa sekalipun, filem ini hanya layak untuk tontonan golongan berusia, bukan keluarga, kanak-kanak atau remaja bawah umur kerana ia penuh dengan sisi ganas, ayat lucah dan sumpah seranah.

DEADPOOL 2

• ARAHAN: David Leitch

• PELAKON: Ryan Reynolds, Morena Baccarin, T J Miller, Leslie Uggams dan Josh Brolin

• GENRE: Komedi aksi

• TAYANGAN: 17 Mei 2018

• ULASAN: Amirul Haswendy Ashari

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 4:13 AM