Lakonan Zul dalam Sangkar. FOTO IG Zul Ariffin
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


PELAKON kacak, Zul Ariffin mengakui tidak kisah dengan dakwaan tubuh sasanya dieksploitasi sekali lagi dalam filem genre aksi terbarunya, Sangkar.

Menurut Zul, dia terpaksa mendedahkan tubuhnya separuh bogel demi menjayakan karakter selaku peninju latihan seni mempertahankan diri campuran (MMA) dalam filem itu.

“€œBiarlah orang nak cakap saya nak jual tubuh pun kerana ia keperluan watak dilakonkan.

“Bukan sengaja mahu tayang badan untuk raih publisiti,”€ katanya.

Menurut Zul, dia juga perlu menyimpan jambang untuk menjiwai karakter terbabit.

“Saya memang rimas dengan imej berjambang tapi ia perlu kerana tuntutan watak.

“Setakat ini, saya giat menjalani latihan Intensif untuk karakter peninju MMA itu,” katanya.

Zul berkata pada malam kemuncak Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2018 (DFKL2018) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini.

Dalam filem Sangkar arahan Kabir Bhatia dan terbitan Primeworks Studios itu, Zul bergandingan selaku teraju utama bersama Remy Ishak dan Mira Filzah.

Pelakon memenangi kategori Aktor Pilihan DFKL2018 ini juga gembira kerana filem genre aksi semakin mendapat tempat dalam bidang perfileman tanah air.

“Semakin ramai produser berani menerbitkan filem genre aksi ketika ini.

“Saya melihat ia peluang baik untuk pelakon seperti saya mendapat tempat dalam industri seni tanah air.

“Jika dalam drama, watak saya lebih kepada kisah cinta sebaliknya dalam filem, wajah saya kini sinonim dengan genre aksi dan lasak pula,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zul berkata, agenda seninya padat sehingga hujung tahun.

“Saya akan terbabit dengan penggambaran filem Sangkar sepanjang Ramadan.

“Filem Sangkar dijangka menjengah pawagam tanah air pada Mei tahun depan,” katanya.

Sebelum ini, Zul pernah mendedahkan sebahagian tubuh sasanya dalam filem Tombiruo: Penunggu Rimba yang turut diperkatakan ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 1:46 PM