Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


PENYANYI tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyifatkan penyanyi, Khai Bahar pilihan tepat untuk menyanyikan lagu duet, Cinta Syurga.

Siti, 39, berkata, dia memilih Khai sebagai rakan duet kerana bakat dan kelebihan penyanyi itu selain populariti dimiliki.

“Lagu ini menggunakan melodi Comel Pipi Merah. Cuma lirik ditukar kepada zikir. Dalam erti kata lain, Comel Pipi Merah versi zikir.

“Bersempena sambutan Ramadan ini, jadi saya merancang untuk menerbitkan lagu zikir. Lagu ini siap dirakam pada Selalu lalu yang mana proses rakaman lebih kurang sejam seorang.

“Bagi alunan zikir, kami dipantau Bazli Unic. Apa boleh dikatakan, ketika rakaman, Khai mengalunkan zikir dengan baik sekali. Diakui, saya pilih Khai kerana dia memiliki nyanyian yang baik, suara bagus dan faktor populariti,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Siti, lagu itu bakal dilancarkan di semua platform digital dalam masa terdekat.

Siti juga berkongsi, muzik video lirik lagu itu dibuat sewaktu sesi rakaman berlangsung.

Sementara itu, Khai ketika dihubungi mengakui seperti bermimpi ketika mendapat tawaran daripada Siti.

Khai berkata, dia tidak dapat menggambarkan perasaan teruja dan gembira kerana menjadi impiannya selama ini untuk menyanyi dengan penyanyi kesayangan ramai itu.

“Apabila diberitahu pihak pengurusan mengenai tawaran ini, macam tidak percaya hingga membuatkan saya tidak terkata. Perasaan bercampur baur, gembira, terharu dan teruja.

“Saya merasakan sebagai penyanyi baru, bukan mudah nak bekerjasama dengan Tok Ti (Siti). Selama ini saya sekadar memasang impian. Tidak sangka pula ia menjadi kenyataan.

“Terima kasih kepada Tok Ti dan pihak pengurusannya kerana memberi peluang serta kepercayaan untuk saya terbabit dalam lagu ini. Sejujurnya, hingga saat ini saya masih tidak percaya,” katanya yang kali pertama berjumpa Siti.

Bagaimanapun, Khai tidak mahu mendabik dada apabila dapat berduet dengan Siti. Sebaliknya, peluang digunakan sebaiknya untuk berguru dengan penyanyi hebat itu.

“Bukan saja saya, malah ramai lagi penyanyi lain yang mengimpikan untuk berduet dengan Tok Ti. Saya anggap ini rezeki untuk saya. Malah, ia satu pencapaian dalam kehidupan dan kerjaya apabila dapat merakamkan single duet.

“Tok Ti tidak lokek ilmu malah banyak berikan tunjuk ajar dan nasihat. Orangnya sangat baik. Kerjasama ini saya jadikan satu bentuk pengajaran untuk memajukan diri. Peluang sebegini bukan datang selalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 2:17 PM
DATUK Seri Siti Nurhaliza dan Khai Bahar. FOTO Rozi Abdul Razak