AKIM dan Stacy. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


HARI Ibu yang disambut hari ini menyaksikan kebanyakan artis tempatan berkongsi ucapan yang didedikasikan kepada ibu masing-masing di laman sosial milik mereka.

Tidak ketinggalan pasangan suami isteri popular, penyanyi Akim Ahmad dan Stacy.

Akim yang juga vokalis kumpulan Akim & The Majistret yang kehilangan ibu tercinta Aminah Bahari, 52, minggu lalu menerusi ucapannya meluahkan rasa rindu yang tidak terhingga.

Ucapan dimuat naik itu berlatarbelakangkan lagu Joget Kenangan Manis nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.


LUAHAN Akim untuk arwah ibunya sempena Hari Ibu. FOTO Instagram Akim

"Selamat Hari Ibu. Hari ini seminggu sudah ibu meninggalkan kami. Semoga Ibu bahagialah di sana.

"Lagu daripada Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, Joget Kenangan Manis, lagu yang melahirkan kami empat beradik.

"Kalau bukan lagu ini, mungkin ayah tak terbayangkan muka arwah ibu, dan kami juga tak lahir pun kat dunia ni. Rindunya dengan ibu," katanya.

Penyanyi Stacy atau Ummu Shaikhah Stacy Anam pula menyifatkan ibunya, Agnes Kaloos dan arwah ibu mentuanya sebagai wanita hebat.


Ibu dan ibu mentua Stacy. FOTO Instagram Stacy

"Dua wanita hebat yang sentiasa saya kasihi dan sayangi. Ibu, terima kasih banyak kerana bersabar dan membimbing saya sehingga sekarang. Apa yang saya buat sekarang kerana kamu ibu, Agnes Kaloos. Saya sayang ibu.

"Terima kasih Allah kerana meminjamkan saya wanita hebat ini, ibu mentua, Aminah Bahari. Walaupun tidak lama tetapi kasih sayang yang diberikan tidak dapat diungkapkan. Semoga ibu tenang di sana dan kami akan merindukan ibu buat selamanya.

"Saya bertuah kerana mempunyai dua wanita hebat dalam dunia ini. Selamat Hari Ibu, mak. Terima kasih Allah, Alhamdulillah. Semoga saya sentiasa dapat terapkan kasih sayang yang mereka curahkan selama ini untuk menjadi seorang ibu yang terbaik untuk anak-anak saya pula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mei 2018 @ 3:21 PM