ALIF-Siti Nordiana jayakan drama Pengantin Musim Salju untuk tayangan tidak lama lagi.
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


Kerap digandingkan bersama menerusi drama bersiri popular, dua bintang yang semakin kukuh di persada seni tanah air, Alif Satar dan Siti Nordiana dilihat semakin selesa menyatu emosi.

Kali terakhir mereka muncul menerusi drama rantaian, Dia Semanis Honey sekitar dua tahun lalu dan terbaru mereka bersatu lagi dalam drama Pengantin Musim Salju yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Drama itu juga menemukan mereka sebagai pasangan duet menerusi lagu Sebenarnya ciptaan bersama Faizal Tahir, Mike Chan, Ezra Kong dan Romeo.

Paduan hebat mereka tidak terhenti di situ apabila Alif dan Siti bakal menjayakan konsert sulung bersama pada 31 Ogos depan di Singapura.

Kata Alif, tiada sebarang ramuan istimewa untuk memastikan kehadiran mereka terus diterima peminat.

“Selepas bergandingan dalam drama bersiri dan muzikal, kami jadi pasangan duet pula. Lagu ini baru saja dirakam beberapa minggu lalu.

“Kolaborasi istimewa ini adalah hadiah buat peminat setia yang menyokong kami sejak drama Dia Semanis Honey.

“Saya tidak menyangka Dia Semanis Honey mampu jadi sebesar ini kerana kelompok peminat kami berbeza.

“Malah, setiap kali bergandingan kami tidak ada masalah untuk mencipta keserasian. Ia dibuat tanpa paksaan.

“Mungkin itu yang membuatkan peminat tertarik dengan gandingan kami berdua. Keserasian kami bagaimanapun atas dasar profesional dan tidak terbawa-bawa hingga ke luar lokasi penggambaran,” katanya.

Shah Rukh Khan, Kajol Malaysia

Siapa sangka, keserasian mereka yang meninggalkan impak luar biasa kepada penonton membuatkan pasangan ini dilabel Datuk Shah Rukh Khan dan Kajol versi Malaysia.

Alif berkata, dia menganggap setiap gelaran atau pujian sebagai penyemarak semangat untuk terus memajukan diri dan memberikan persembahan terbaik.

“Ini penghargaan yang besar. Mungkin peminat bercakap begitu kerana mereka seronok melihat keserasian kami bersama ketika menjayakan Dia Semanis Honey baik dalam drama, telefilem mahupun teater muzikal.

“Tidak dinafikan selama saya bergandingan dengan pelakon wanita lain, peminat lebih teruja dan ternanti-nantikan gandingan saya bersama Nana. Bagi mereka, kami serasi di skrin.

“Mungkin sikap Nana yang mudah dibawa berbincang setiap kali memulakan penggambaran membuatkan saya tidak kekok dan mudah berlakon dengannya,” kata Alif ketika ditemui pada sidang media konsert Just Us -Alif Satar dan Siti Nordiana Live In Singapore anjuran Adi Media Pvt Ltd di ibu negara, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Adi Media Pte Ltd, Dian Rasid.

Beralih mengenai pembikinan Sebenarnya, Nana berkata, pada awalnya dia ragu-ragu untuk menyanyikan lagu itu kerana ia lebih moden dan berbeza daripada genre yang pernah dirakamnya.

Bagaimanapun, bekas juara Gegar Vaganza musim kedua itu positif Sebenarnya mampu memikat hati peminat mereka.

“Kali pertama mendengar lagu ini, saya tertanya-tanya mampukah saya menyanyikannya kerana melodinya sangat berbeza.

“Namun apabila diyakinkan Faizal, saya memberanikan diri terutama selepas melakukan sedikit perubahan pada melodi.

“Nada asal lagu ini sangat tinggi. Saya yakin lagu ini dapat diterima ramai kerana sebelum itu saya sempat memperdengarkannya kepada orang tua dan orang lama. Mereka memberikan maklum balas positif,” katanya.

Sementara itu, Alif berkata ini adalah kerjasama kedua dengan Faizal selepas lagu Sesungguhnya Aku.

“Saya masih ingat setahun lalu, selepas merakamkan lagu Sesungguhnya Aku, Faizal bercerita Nana ada menyuarakan hasrat mahu lagu duet untuk kami.

“Akhirnya, kami dapat merealisasikan kerjasama ini. Sebenarnya akan dipersembahkan dalam konsert sulung kami di Singapura nanti,” katanya.

Konsert ‘Just Us - Alif Satar & Siti Nordiana’ Live in Singapore akan berlangsung di Shine Auditorium, Shaw Tower, Singapura, pada 31 Ogos depan.

Tiket menyaksikan persembahan dua artis popular itu boleh diperoleh dengan melayari www.rosevalley.sg.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mei 2018 @ 1:52 AM