DAYANA perlu bawa kelainan untuk bertahan lama dalam dunia lakonan.
HM Digital

Jika sebelum ini pelakon Dayana Roza sering disogok watak air mata, kini haluan itu sudah beralih ke antagonis.

Ia dibuktikan Dayana, 27, menerusi watak Roza dalam Cinta Fatamorgana yang kini mengisi slot Akasia TV3.

Berbicara lanjut mengenai watak itu, Dayana berkata Roza tidak mengejar cinta sebaliknya harta.

“Roza menjadi jahat bukan kerana mengejar cinta tetapi kesenangan hidup. Sasarannya adalah lelaki berusia yang berharta.

“Saya sukakan watak ini kerana ia berbeza daripada apa yang selalu dipertontonkan dalam drama Melayu.

“Roza sanggup melakukan apa saja asalkan dapat hidup mewah,” katanya.

Meskipun setiap hari dikecam netizen di laman sosial termasuk di Twitter, Dayana tidak berjauh hati sebaliknya melihat senario itu sebagai perkara yang bagus untuk kerjayanya.

“Saya gembira apabila orang benci dan marahkan Roza. Itu bermakna lakonan saya menjadi.

“Saya berjaya membuatkan penonton drama Cinta Fatamorgana sakit hati dan meluat dengan Roza,” katanya.

Dayana memaklumkan dia sekali lagi bawa watak gelap dalam drama Isteri Untuk Diiktiraf di RTM.

“Dalam drama ini saya tampil sebagai Tengku Bella Donna. Watak ini diperkuatkan dengan gandingan saya bersama pelakon dan penerbit, Sheila Rusly.

“Nampaknya, saya mungkin akan terus dikecam penonton drama ini nanti. Tak mengapa, saya okey saja,” katanya.

Pemilik nama sebenar Nur Dayana Kamsun Baharin ini berkata, dia perlu bawa kelainan jika mahu bertahan lama dalam dunia lakonan. Oleh itu, dia tidak kisah sekiranya tahun ini banyak diberikan watak antagonis.

“Sebagai pelakon, saya perlu bersedia bawa apa saja karakter. Tidak kira baik atau jahat, ia rezeki.

“Bagaimanapun, saya lebih puas melakonkan watak antagonis kerana lebih diingati penonton.

“Watak Wani dalam drama Lara Aishah tahun lalu misalnya, sampai sekarang orang masih ingat dan sebut. Ia beri impak besar kepada karier saya,” katanya.

Ditanya penerimaan kekasihnya terhadap watak antagonis lakonannya, Dayana berkata duda anak satu bernama Ariff Ali, 31, itu sangat memahami.

Jelas Dayana, buah hatinya tidak menghalang malah menyokong apa saja watak yang digalasnya kerana itu kerja pelakon.

Dayana kini terikat dengan penggambaran drama Hati Bukan Kristal untuk slot Akasia TV3. -Norhayati Nordin

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mei 2018 @ 6:01 AM