ASHRAF manfaat sepenuhnya teknologi komunikasi sepanjang berada di luar negara.
Amirul Haswendy Ashari.
haswendy@hmetro.com.my

Bulan lalu, pelakon Ashraf Muslim, 36, berada di Bosnia bagi mengikuti misi bantuan sempena kempen Projek Squad Celebrity Global Volunteers.

Berkampung selama seminggu di negara itu bagi membantu mereka yang memerlukan, Asyraf kembali ke tanah air pada 26 April lalu.

Awalnya, langkahnya rerasa berat kerana perlu meninggalkan tiga zuriat tersayang hasil perkahwinan dengan dua isteri, Noor Dayana dan Wan Sakinah.

“Apabila difikirkan semula, saya pernah meninggalkan mereka kerana sering mengetuai rombongan umrah sebelum ini.

“Cuma bezanya, kali ini saya ke negara yang pernah berdepan dengan konflik agama dan bangsa. Ia tidak boleh dipandang remeh,” katanya.

Biarpun Bosnia dianggap sudah aman, pelbagai hal di luar jangka boleh saja berlaku kerana masih ada masyarakat Islam ditindas secara psikologi. Enggan memikirkan hal negatif, pelakon kelahiran Melaka ini cuba bersikap optimis dan bersyukur urusannya bersama rombongan dipermudahkan Allah.

Ditanya bagaimana memastikan anak tidak terputus hubungan dengannya, Ashraf berkata dia memanfaatkan sepenuhnya teknologi komunikasi.

“Ketika melakukan umrah pun, kalau tidak bawa keluarga bersama saya akan berhubung dengan mereka menggunakan panggilan video.

“Saya akan pastikan sentiasa berkomunikasi dengan mereka agar tidak terasa ketiadaan saya,” katanya.

Cuma apabila berkomunikasi begitu, ia tidak sama dengan kehangatan bapa memeluk anak yang memerlukan perhatian.

Katanya, setiap kali pulang ke rumah daripada misi umrah atau set penggambaran, anak akan memeluk erat dan mereka menghabiskan masa bersama.

Dari situ dia sedar anak memang merindui ketiadaannya di rumah.

Bercerita soal anak, Ashraf berkata dia belum bersedia mendedahkan tiga buah hatinya itu ke dunia hiburan terutama anak sulung hasil perkahwinan dengan isteri kedua iaitu Sarah Ashraf.

Pelakon drama Cinta Hati Batu itu berkata, keputusan merestui Sarah menceburi dunia seni atau komersial bergantung kepada minat anaknya pada masa depan.

“Buat masa ini, Sarah terlalu aktif dan kadangkala sukar dikawal. Dia akan bermain mengikut kehendak ‘mood’nya.

“Dia pernah hilang seketika di pasar raya sebelum ini ketika keluar bersama ibunya dan ditemui bermain di sebuah kedai jual mainan.

“Malah tanpa rasa ‘bersalah’ menghilangkan diri, dia tiba-tiba meminta ibunya membeli mainan di kedai itu,” katanya.

Sambung Ashraf, anak perempuannya itu gemar melakukan aktiviti lasak seperti memanjat dinding (wall climbing) dan berlari.

Katanya, setiap kali Sarah melakukan aktiviti lasak, sebagai bapa, dia sentiasa memantau dan memberi galakan kerana mempunyai minat yang sama.

“Saya tidak menghalang Sarah melakukan aktiviti lasak, tetapi akan pantau dia agar tidak berlaku kejadian tidak diingini,” kata Ashraf.

Selain Sarah, Ashraf turut memiliki seorang lagi anak bersama Sakinah iaitu Adam Ashraf, tiga tahun. Mereka juga bakal menimang cahaya mata ketiga yang bakal dilahirkan selepas Syawal nanti.

Bersama isteri pertama, Noor Dayana pula, pasangan ini dikurniakan seorang zuriat iaitu Anas Ashraf, 3.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mei 2018 @ 5:48 AM