Reuters

FILEM Avengers: Infinity War mencatatkan kutipan AS$39 juta (RM152.8 juta) sehingga petang semalam, di Amerika Syarikat dan Kanada.

Pengedar filem itu, Walt Disney Co dalam satu kenyataan berkata, jumlah berkenaan adalah yang terbesar setakat ini dikutip oleh filem Studio Marvel dan filem keempat tertinggi mencatatkan kutipan lumayan semasa tayangan pembukaan.

Menurut penganalisis filem, ia dijangka menghampiri atau mengatasi rekod dibuat filem Star Wars: The Force Awaken pada 2015, menjelang Ahad ini.

Star Wars mencatatkan kutipan berjumlah AS$248 juta (RM971.4 juta).

Infinity Wars membariskan lebih daripada 20 adiwira ciptaan Marvel, termasuk Iron Man, Spider-Man, Black Panther dan Guardians of the Galaxy.

Ia menerima pujian pengkritik filem khususnya pada babak akhir yang direka khas bagi membuatkan penonton tertunggu-tunggu sekuel seterusnya tahun depan.

Infinity War mula ditayangkan Rabu lalu di beberapa passaran luar negara dan mencatatkan jualan tiket berjumlah AS$95 juta (RM372 juta) untuk dua hari pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 April 2018 @ 1:11 PM