Aweera akui artis perlu publisiti media. FOTO IG Aweera
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


VOKALIS kumpulan Prime Domestic, Aweera, 27, menafikan dakwaan dia pernah membatalkan beberapa temu janji untuk sesi fotografi bersama media pada saat akhir.

Aweera atau nama sebenar Nasharul Aweera Noriyissham berkata dia sedar betapa publisiti sangat penting kepada golongan artis sepertinya.

"Siapa yang dakwa saya pernah buat macam itu (pihak media), boleh datang berjumpa dengan saya.

"Tetapi, rasanya buat masa ini saya tidak pernah lagi menolak atau membatalkan apa saja temu janji untuk fotografi bersama media kerana publisiti penting buat artis.

"Jadi, kenapa saya perlu lepaskan peluang mendapatkan publisiti bagi kerjaya seni sendiri. Malah, siapa saya untuk bertindak sebegitu," katanya.

Aweera berkata berbanding suatu ketika dulu akuinya sekarang dia sudah banyak berubah kerana banyak belajar daripada pengalaman.

"Janganlah terus menghukum saya lagi. Sebagai penyanyi, saya akui publisiti sangat penting untuk golongan artis.

"Saya sendiri sentiasa menunggu dipanggil oleh pihak media bagi menjayakan sesi fotografi bagi tujuan publisiti dan promosi lagu baru," katanya.

Apa pun, dakwaan itu muncul dalam kalangan beberapa wakil media yang mengakui kecewa dengan sikap Aweera tidak menghormati temu janji sudah diatur.

Terdahulu, Aweera hadir bersama Fiq Halim dan Aepul (vokalis Drama Band) untuk sesi fotografi bagi promosi single trio mereka, Selamatkan Aku yang dimuat naik di YouTube sejak Oktober, tahun lalu.

Pembabitan Aweera dalam bidang muzik bermula sejak 2009 selepas dia menyertai program realiti TV One In A Million (OIAM) musim ketiga.

Aweera pernah menyertai kumpulan Mojo pada 2012 sebagai vokalis, menghasilkan dua EP dan popular menerusi lagu Andaiku Bercinta Lagi serta Romancinta.

Apapun, wujud kontroversi Aweera bersama Mojo yang akhirnya dia angkat kaki keluar meninggalkan kumpulan di bawah pimpinan Edry KRU itu pada 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 April 2018 @ 4:16 PM