Fendy Bakri alami sakit misteri. FOTO AZIAH AZMEE
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


PELAKON mencipta nama menerusi lakonan dalam drama Mr Grey, Fendy Bakri dilaporkan mengalami sakit misteri sejak awal bulan ini.

Setakat ini, pelakon berusia 30 tahun itu dikatakan mengalami sakit kepala serta badan lemah hingga tidak mampu berbuat apa-apa.

Pengurusnya, Fadzil Zahari melalui kenyataan media syarikat pengurusan Prokuya Studios, berkata pihaknya memohon maaf kepada media kerana terpaksa membatalkan sesi fotografi dan temuramah pada saat akhir.

"Kami terpaksa batalkan kehadiran Fendy Bakry di beberapa promosi drama Mr Grey kerana mengalami sakit secara tiba-tiba selepas habis menjalani penggambaran drama itu di Melaka dan Kuala Lumpur awal April lalu.

Dia masih mengalami masalah itu sehingga ke hari ini.

"Fendy sedang menjalani rawatan dan berharap semua mendoakan kesihatannya dan dia ucap terima kasih tak terhingga pada yang sentiasa menyokong dan mendoakannya," kata Fadzil.

Malah, dia dilaporkan terpaksa pulang ke kampung halaman di Perlis menjalani rawatan alternatif.

Fendy dilapor pernah dimasukkan ke hospital kerana mengalami penyakit sama, awal Mac lalu.

Usaha Harian Metro menghubungi pelakon itu mendapatkan pengesahan keadaan kesihatannya gagal kerana telefonnya dimatikan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 April 2018 @ 3:42 PM