Haziq bersama ahli kumpulan Floor 88 pada majlis hari jadi Haziq dan Linda anggap ada hikmah di sebalik kemalangan motosikal. FOTO IG Linda Eva & Haziq Putera Band
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


PENYANYI Linda Eva, 41, memberitahu kemalangan motosikal yang menimpa anaknya Haziq, 18, pada 28 Februari lalu turut membawa hikmah.

Linda atau nama sebenarnya Norhaslinda Ishak berkata walau pun kemalangan motosikal dialami Haziq itu boleh dianggap ngeri namun tetap ada hikmah di sebaliknya.

"Kini, rasanya Haziq trauma dan serik untuk menunggang motosikal.

Kejadian kemalangan dialami itu sangat memberi kesan mendalam kepadanya.

"Sebagai ibu, selain bersyukur anak saya selamat dan kini semakin pulih, jauh di sudut hati gembira kerana Haziq sudah serik.

"Tapi, tak tahulah perasaan serik dia (Haziq) sampai bila. Namun, setidak-tidaknya sekarang kalau hendak ke mana saja dia akan pergi bersama saya atau rakan yang lain," katanya.

Linda berkata Haziq adalah anak lelaki tunggal dalam keluarganya selain memiliki tiga lagi anak perempuan.

"Haziq adalah harapan saya karana dia anak sulung dan tunggal lelaki. Jadi, sebagai abang dia (Haziq) ada tanggungjawab besar kepada adik-adiknya.

"Saya tidak dapat bayangkan jika berlaku lagi perkara tidak diingini kepadanya. Kini, saya hanya mampu berdoa supaya anak-anak saya dilindungi Allah SWT pada setiap masa," katanya.

Pada 20 April lalu, Linda bersama keluarga mengadakan majlis hari jadi istimewa buat Haziq yang juga vokalis Putera Band.

Majlis bertemakan hitam dan putih di sebuah restoran di ibu kota itu dirancang Linda secara diam-diam sebagai kejutan buat Haziq.

Ujarnya, majlis sambutan hari jadi itu diharapkan dapat memberi semangat kepada Haziq dan sekali gus melupakan apa yang sudah berlaku.

Pada hujung Februari lalu, Haziq atau Muhammad Haziq Hasbullah diitimpa kemalangan yang berpunca dari motosikal ditunggangnya merempuh sebuah lori yang dipakir di bahu jalan.

Akibat daripada kemalangan itu, Haziq mengalami kecederaan di paru-paru, retak tulang tengkuk dan patah tulang rusuk.

Kini, Haziq yang kian pulih kembali aktif bersama Putera Band yang popular dengan single Rebahku Tanpamu dan Tersiksa.

Selain Haziq, Putera Band dianggotai Mohamad Alift Abu Hasan Asa'Ari (Alepp, 19, dram), Muhammad Aidid Farhan Suhami (Aidid, 14, bass) dan Mohammad Fitri Abu Hasan Asa'Ari (Baby, 16, gitar utama).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 April 2018 @ 2:41 PM