ANTARA pelajar yang menjayakan pementasan Anak Kerbau Mati Mak.
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kemajuan pembelajaran pelajar diploma tahun 1 Fakulti Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) akan dinilai menerusi pementasan teater Anak Kerbau Mati Emak karya Bidin Subari.

Pementasan arahan Balkis Omar ini akan berlangsung tiga hari iaitu pada 20 April sehingga 22 April di Black Box, ASWARA.

Pelajar terbabit akan dinilai dari aspek amali genre Produksi Teater Moden. Mereka dikehendaki membuktikan modul yang diberikan tenaga pengajar berkesan dalam pementasan naskhah bergenre komedi yang ditulis pada 1972 ini.

Balkis berkata, biarpun zaman sudah berlalu, isu yang dipaparkan penulis masih relevan pada zaman sekarang. Ia memaparkan kisah masyarakat kampung yang menerima pembangunan daripada kerajaan.

Kebanyakan tanah terbiar sudah diberi galakan dalam bentuk insentif dan subsidi untuk masyarakat mengusahakannya dan menggalakkan penanaman pelbagai tanaman seperti koko dan jagung selain padi.


ANTARA pelajar yang menjayakan pementasan Anak Kerbau Mati Mak.

“Saya percaya pemilihan naskhah ini akan dapat menyerlahkan bakat sebenar pelajar terbabit. Menerusi produksi ini, mereka akan didedahkan konsep dan praktik teater moden, di samping membuat penilaian terhadap pencapaian sepanjang tempoh belajar. Produksi ini juga akan dipersembahkan kepada khalayak umum untuk dihayati dan turut dinilai masyarakat,” katanya.

Balkis mengakui kesukaran memahamkan pelajar berkenaan aspek adat, budaya, gurauan dan bahasa badan generasi terdahulu berbanding Generasi Y sekarang.

“Mereka mengakui kurang mahir dengan cara pergaulan orang lama membuatkan saya terpaksa menunjuk ajar banyak perkara.

“Alhamdulillah dengan pengajaran daripada saya dan sedikit rujukan mereka sendiri, masalah ini akhirnya dapat diatasi. Bahkan pelajar ini seakan-akan tak sabar beraksi.

Anak Kerbau Mati Emak bukan calang-calang naskhah kerana pernah dipentaskan dalam bentuk drama TV dan menerima sambutan hebat pada zamannya.

Oleh itu, tidak banyak pengubahsuaian dibuat Balkis kecuali latar cerita yang menggambarkan perkampungan di sekitar Kuala Selangor.

“Dalam drama TV, penggambaran dibuat di Sik, Kedah tapi saya pilih Kuala Selangor dan barisan pelakon bebas menuturkan loghat yang selesa seperti loghat bandar dan loghat Perak.

“Kalau ikut cerita sebenar, masanya boleh mencecah tiga jam pementasan. Namun saya terpaksa pendekkan untuk beri keselesaan kepada penonton nanti,” katanya.


ANTARA pelajar yang menjayakan pementasan Anak Kerbau Mati Mak.

Barisan pelakon teater ini antaranya Muhamad Daniel Ariff Abd Rahman dan Syamsul Hilmi Badrul Hisham sebagai Pak Mohsin, Muhammad Nurakmal Mohd Ayub dan Muhammad Asyriq Syammil Rosli (Tawil), Muhammad Shafizy Selamat dan Muhammad Amer Hussein Arshad (Kulup), Nur Ain Fitri Taqiah Mohd Fauzi dan Nur Syafiera Izzana Othman (Jamiah), Nur Aleefa Shamira Roslan danNur Azwani Izzati Mumtaz Ahmad (Mak Jumi).

Tiket untuk menonton berharga RM20 untuk umum dan RM10 untuk pelajar, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan kanak-kanak.

Peminat juga boleh menyaksikan kisah di sebalik tabir Anak Kerbau Mati Emak menerusi Instagram @teateranakkerbaumatiemak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 2:26 AM