WAKTU Khalil akan menemui penonton Sabtu ini menerusi slot Cerekarama.
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my

Siapa antara kita yang tidak tahu Twitter atau Facebook? Siapa pula yang tidak tahu Instagram atau tidak pernah menggunakan WhatsApp?

Pasti tiada insan yang tidak kenal itu semua pada zaman moden ini. Bahkan jangan terkejut jika ada di antara kita mempunyai lebih daripada satu akaun bagi setiap aplikasi itu.

Begitulah hebatnya penangan dan peranan media sosial dalam kehidupan seharian kita.

Meskipun media sosial banyak kebaikan, apabila terlampau obses ia boleh memudaratkan.

Malah, peradaban bangsa dan institusi kekeluargaan boleh runtuh akibat kelalaian manusia yang terlalu taasub dengan media sosial.

Itulah antara inti pati diterjemahkan dalam telefilem Waktu Khalil yang akan disiarkan di slot Cerekarama, TV3 pada 21 April ini, jam 10 malam.

Menjanjikan jalan cerita yang sarat dengan mesej positif, pengarahnya Shuhaimi Lua berkata, buah tangan kali ini mengangkat kisah penyalahgunaan media sosial dalam kalangan ahli keluarga.


ANTARA babak dalam telefilem Waktu Khalil.

“Kelekaan manusia terhadap media sosial mengundang 1,001 masalah hingga menggugat institusi kekeluargaan. Malah ketaasuban media sosial menjadi punca kegagalan suami isteri mendidik anak menjadi insan berguna.

“Sengaja saya bawa penonton menyelami sebuah naskhah yang dekat dengan kehidupan sekarang sebagai pedoman dan iktibar untuk tidak mengulangi kesilapan serupa,” katanya.

Mengangkat kanak-kanak sebagai tonggak utama telefilem yang menjalani penggambaran di sekitar ibu kota, Shuhaimi berkata, ia satu cabaran besar buat dirinya namun berjaya dilunaskan dengan baik.

“Alhamdulillah, proses penggambaran berjalan lancar tanpa sebarang halangan. Cumanya naskhah kali ini saya banyak bermain dengan dua pelakon kanak-kanak yang mempunyai perangai tersendiri.

“Jika ditanya pengarah lain, bukan mudah mengawal kanak-kanak. Mereka perlu dijelaskan berulang kali mengenai watak yang dilakonkan supaya faham jalan cerita,” katanya.


KAMAL tiada masalah memegang watak sebagai bapa.

Menurut Shuhaimi, jika kebanyakan pelakon kanak-kanak dijadikan watak tempelan bagi sesebuah drama atau filem, dia mencabar dirinya untuk mengangkat golongan ini dalam telefilem terbitannya, Tanah Beris Film Production Sdn Bhd.

“Kesabaran kunci utama untuk memastikan proses penggambaran berjalan dengan baik. Saya tidak putus asa untuk mendidik dan menerangkan kepada mereka bahawa Waktu Khalil bukan sebuah naskhah biasa.

“Selalunya kanak-kanak dijadikan watak tempelan, namun saya ingin mencabar diri membawakan sebuah kisah golongan ini dan dibantu pelakon handalan,” katanya.

Telefilem yang menjalani penggambaran selama tujuh hari itu dibintangi pelakon Kamal Adli, Puteri Aishah, Danish Hazriq dan Aprena Manrose.

Ia mengisahkan pasangan suami isteri, Atie dan Wan taasub dengan media sosial yang bekerja hingga lupa tanggungjawab serta peranan mereka untuk menumpahkan sepenuh kasih sayang terhadap dua cahaya matanya, Khalil dan Kayla.

Satu hari, Khalil dilanggar lari ketika dalam perjalanan ke rumah kawan baiknya, Niko. Gambar kemalangan dimuat naik di media sosial dan menjadi tular. Berita itu diketahui Wan dan Atie selepas melihat gambar terbabit di media sosial mereka.


ANTARA babak dalam telefilem Waktu Khalil.

Sementara itu, pelakon Kamal Adli yang melakonkan watak bapa dua anak berkata, Waktu Khalil adalah sebuah naskhah yang berlaku pada masa sekarang dan dekat dengan diri masyarakat.

“Menariknya cerita ini kerana ia dekat dengan kehidupan masyarakat. Ramai yang menumpukan perhatian terhadap media sosial atau gajet hingga mengabaikan tanggungjawab.

“Sebagai individu, kita seharusnya bijak membahagikan masa untuk menggunakan media sosial. Janganlah sampai hubungan kekeluargaan tergadai hanya disebabkan perkara remeh-temeh ini,” katanya.

Ditanya mengenai kepuasan melakonkan watak bapa, Kamal akui seronok dan tiada cabaran besar dihadapinya.

“Saya tiada masalah berlakon dengan kanak-kanak kerana sudah beberapa kali bergandingan dengan mereka.

“Bagi saya, setiap watak ada peranan tersendiri. Walaupun hanya bawa watak pembantu dalam telefilem ini, saya perlu menolong karakter utama dalam kisah ini supaya dapat mencantikkan lagi keseluruhan jalan cerita,” katanya.


DANISh Hazriq dan Tengku Zara memainkan peranan utama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 2:09 AM