Zamani tidak faham dan tidak tahu di mana silapnya. FOTOMOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


PENYANYI Zamani Slam mengakui belum terfikir untuk menghasilkan single terbaru buat peminat.

Tambah lagi dia masih terkilan kerana single terbarunya, Tambatan Hati yang dihasilkan pada 2015 tidak dimainkan di stesen radio.

Zamani yang popular dengan pelbagai lagu antaranya Gerimis Mengundang menjelaskan, dia sudah memberikan yang terbaik dalam lagu itu tetapi masih sukar mendapat kerjasama stesen radio.

“Secara ikhlasnya saya sangat sedih dan kesal kerana sudah buat sehabis baik untuk Tambatan Hati. Lagu ciptaan komposer Indonesia dan proses rakamannya juga berkualiti.

“Tetapi malangnya sekali pun saya tidak mendengar lagu ini dimainkan di radio. Saya kecewa, tetapi bukan dengan peminat kerana kita tidak boleh paksa citarasa orang.

“Cuma, tanggungjawab stesen radio sendiri, takkanlah sampai tidak mainkan langsung walaupun sekali. Jadi, ada baiknya saya akan pastikan saya betul-betul diterima oleh semua pihak termasuk stesen radio, barulah saya akan hasilkan single seterusnya,” katanya.

Zamani, 47, berkata, dia akan memulihkan hubungannya dengan stesen radio dan baru merancang tampil dengan single terkini bagi memenuhi permintaan peminatnya.

“Lagu Tambatan Hati bagus dan tiada cacat cela. Muzik video juga turut dihasilkan bagi membantu promosi tetapi masih tidak berubah.

“Saya tidak faham dan tidak tahu dimana silapnya. Tidak dinafikan mungkin sekarang generasi penyanyi Budak-Budak Baru Nak Up (BBNU) diterima peminat tetapi bagi saya itu bukan alasan lagu saya tidak dimainkan di radio,” katanya.

“Kami berlainan era dan agak tidak logik jika dikatakan kami bersaing. Saya ada peminat sendiri dan hanya berharapkan sokongan mereka. Jika ada golongan baru meminati saya, sudah tentulah saya bersyukur,” katanya.

Zamani akan menjayakan Konsert Pentas Maya Bersama Zamani yang dianjurkan Pentas Maya dengan kerjasama Mobilewerkz Technologies pada 2 Mei ini.

Peminat boleh melayari laman web www.pentasmaya.com untuk mendapatkan akses menonton konsert itu dengan harga sebanyak RM30.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 3:22 PM