A Aida guna duit sendiri buat filem Ratu Kalajengking. FOTO NUR ADIBAH AHAMD IZAM
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


PENERBIT, Datuk A Aida menafikan dia ditaja VIP dalam penerbitan filem sulung syarikatnya, Ratu Kalajengking yang bakal memulakan penggambaran 1 Mei ini.

Aida atau Zaidah Awang berkata, kos keseluruhan filem itu membabitkan RM3 juga menggunakan duit sendiri tanpa sebarang tajaan atau meminta daripada mana-mana pihak.

"Tolong sikit, mana ada saya ditaja. Semua karya atau projek saya selama ini menggunakan duit sendiri.

"Bila bercakap soal duit, kita kena kerja kuat. Cari duit sendiri dan jangan harap duit orang. Bagi saya itu lebih bagus. Lagi satu, segala keputusan boleh buat sendiri," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Aida, kos asal keseluruhan filem itu RM6 juta yang turut membabitkan penggunakan teknik janaan imej komputer (CGI) sebanyak RM4 juta.

Bagaimanapun, bagi mengambil kira keaslian jalan cerita, Aida terpaksa mengurangkan kos CGI.

"Bagi babak Kalajengking saja kos CGI RM1 juta dan beberapa babak lain lagi dianggarkan RM4 juta. Saya fikir kalau terlalu banyak teknik ini ia mencacatkan jalan cerita.

"Jadi saya putuskan untuk potong kos CGI. Sekarang, kos keseluruhan filem ini jadi RM3 juta saja. Saya cuba menggunakan sehabis baik bajet yang ada untuk pembikinan filem ini," katanya.

Filem arahan Bade Azmi itu menampilkan Nadia Brian sebagai watak utama iaitu Ratu Kalajengking, penyanyi Indonesia Firman dan 30 pelakon hebat lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 2:10 PM